Jumaat, 26 Mei 2017

Azam teruja dapat panggilan negara

Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my
 
Kuantan: Pemain tengah Pahang Nor Azam Azih (gambar) teruja apabila tersenarai dalam kalangan 26 pemain yang akan menjalani kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Johor Bahru, Johor, bermula Isnin ini.

Pemain kelahiran FELDA Jengka 21, Maran, Pahang itu berkata, dia tidak sangka akan dipilih ketua jurulatih Harimau Malaya yang baru, Nelo Vingada.

Katanya, perasaan gembira tidak dapat digambarkan kerana memang impiannya untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

“Apabila nama berada dalam senarai 26 pemain, saya tidak sangka dan menganggapnya sebagai rezeki. Saya berjanji akan memberikan yang terbaik buat skuad negara untuk menghadapi kelayakan Piala Asia 2019.

“Biarpun sedar bakal menghadapi saingan sengit lebih berpengalaman, tersenarai sebagai pemain yang akan menjalani latihan pusat itu sudah dianggap suntikan semangat terhadap kerjaya saya,” kata pemain berusia 22 tahun itu.

Nor Azam antara empat pemain Pahang dipilih menjalani kem latihan pusat selain kapten pasukan, Matthew Davies, Ahmad Syamim Yahya dan Wan Zaharulnizam Zakaria.

Namun, cabaran sengit dihadapi Nor Azam kerana perlu bersaing dengan pemain lebih berpengalaman seperti Shafiq Rahim, Azamuddin Akil, Amirulhadi Zainal, Mohd Syazwan Zainon dan Baddrol Bakhtiar.

Nor Azam yang pernah beraksi bersama Harimau Muda B pada musim 2014 mula menyarung jersi Pahang sejak 2015.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2017 @ 2:35 AM

Jumaat, 19 Mei 2017

Peluang Muslim buang badi


 
Kuantan: Pemain pertahanan Pahang Mohd Muslim Ahmad mahu pentas final Piala FA mengubah nasib kariernya.

Ketika rekod di pentas antarabangsanya agak menarik dengan satu kejuaraan Piala AFF dan dua emas Sukan SEA, pencapaiannya di peringkat domestik agak suram tanpa sebarang gelaran.

Kini peluangnya terhidang untuk mengatasi badi itu namun Muslim dan rakan sepasukannya perlu melepasi halangan Kedah di Stadium Shah Alam terlebih dulu.


“Memang itu hasrat saya, nak dapatkan piala untuk melengkapkan koleksi. Saya yakin kami sudah membuat persiapan yang baik dan hanya menunggu hari perlawanan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Muslim, 28, mengalami zaman turun naik selepas keluar daripada Harimau Muda A dan menyertai Terengganu, Johor Darul Ta’zim (Johor DT), PDRM serta Kelantan sebelum menyarung jersi Tok Gajah musim ini.

Dia yang sudah lama tidak beraksi bersama Harimau Malaya bersaing merebut tempat dengan Mohd Afif Amiruddin dan pemain import Korea Selatan Heo Jae-Won dalam kesebelasan utama jurulatih Dollah Salleh.

“Dalam bola sepak biasalah, ada masa kita main baik dan ada ketika menurun. Saya tak pernah rasa kecewa untuk teruskan karier dan syukur sudah dapat semula momentum.

“Bagi saya persaingan dengan Afif dan pemain import itu baik untuk pasukan, terpulang kepada jurulatih untuk membuat keputusan,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 9:02 AM