Jumaat, 19 Mei 2017

Peluang Muslim buang badi


 
Kuantan: Pemain pertahanan Pahang Mohd Muslim Ahmad mahu pentas final Piala FA mengubah nasib kariernya.

Ketika rekod di pentas antarabangsanya agak menarik dengan satu kejuaraan Piala AFF dan dua emas Sukan SEA, pencapaiannya di peringkat domestik agak suram tanpa sebarang gelaran.

Kini peluangnya terhidang untuk mengatasi badi itu namun Muslim dan rakan sepasukannya perlu melepasi halangan Kedah di Stadium Shah Alam terlebih dulu.


“Memang itu hasrat saya, nak dapatkan piala untuk melengkapkan koleksi. Saya yakin kami sudah membuat persiapan yang baik dan hanya menunggu hari perlawanan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Muslim, 28, mengalami zaman turun naik selepas keluar daripada Harimau Muda A dan menyertai Terengganu, Johor Darul Ta’zim (Johor DT), PDRM serta Kelantan sebelum menyarung jersi Tok Gajah musim ini.

Dia yang sudah lama tidak beraksi bersama Harimau Malaya bersaing merebut tempat dengan Mohd Afif Amiruddin dan pemain import Korea Selatan Heo Jae-Won dalam kesebelasan utama jurulatih Dollah Salleh.

“Dalam bola sepak biasalah, ada masa kita main baik dan ada ketika menurun. Saya tak pernah rasa kecewa untuk teruskan karier dan syukur sudah dapat semula momentum.

“Bagi saya persaingan dengan Afif dan pemain import itu baik untuk pasukan, terpulang kepada jurulatih untuk membuat keputusan,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 9:02 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan