Khamis, 28 September 2017

Wan Zaharulnizam akur digantung lima perlawanan



Ahad, 12 Jun 2016 | 5:09pm
 
Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

KOTA BAHARU: Pemain Kelantan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria akur dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menggantungnya lima perlawanan dalam saingan Liga Super.

Wan Zaharulnizam menganggap hukuman itu sebagai pengajaran buatnya untuk bijak mengawal emosi dan mengelak provokasi yang cuba dicetuskan pihak lawan ketika beraksi di padang.

"Ini hukuman paling berat pernah saya terima kerana digantung perlawanan sebegitu lama," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Jawatankuasa Tatatertib FAM menerusi laman webnya menjelaskan lima penggantungan perlawanan yang bakal dihadapi Wan Zaharulnizam membabitkan aksi Liga Super antara Kelantan dan Pahang pada 23 Julai di Kota Baharu serta aksi Johor Darul Ta'zim dan Kelantan pada 26 Julai di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor.

Dua lagi perlawanan membabitkan aksi Liga Super antara Kelantan dan FELDA United pada 3 Ogos dan pertemuan Kelantan dan Terengganu FC II, tiga hari kemudian dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Baharu.

FAM memaklumkan bahawa Wan Zaharulnizam bakal menjalani penggantungan satu perlawanan secara automatik membabitkan aksi Liga Super antara Terengganu FA dan Kelantan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu 15 Julai ini.

Penggantungan itu dilakukan selepas Wan Zaharulnizam dididapati bersalah melakukan kekasaran terhadap pemain Selangor Muhamad Nazmi Faiz Mansor pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini pada 21 Mei Lepas.

Dalam pada itu, pemain berusia 24 tahun itu berkata beliau memohon maaf kepada semua pihak terutama pasukan Kelantan di atas kesilapan yang dilakukannya.

Beliau menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berhubung rayuan kepada FAM bagi meringankan hukuman. – BERNAMA
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 12 Jun 2016 | 5:09pm