Isnin, 23 Oktober 2017

Kuala Muda waspada jumpa Harimau Muda



“JANGAN ambil mudah.”
Itu pesanan ketua jurulatih Kuala Muda Naza, K. Devan kepada anak buahnya ketika turun menentang skuad Harimau Muda pada saingan Liga Perdana di Stadium Darul Aman, Alor Star malam ini.

Menurut Devan, walaupun Harimau Muda membariskan pemain berusia bawah 19 tahun, tetapi mereka tidak akan memandang rendah keupayaan skuad kendalian K. Rajagobal itu

Tambah Devan, barisannya harus menggunakan pengalaman yang ada untuk memberi tekanan kepada lawan.

“Pemain harus memberi tumpuan penuh selama 90 minit perlawanan bagi mengekalkan prestasi pasukan yang membanggakan setakat ini.

“Saya percaya Kuala Muda Naza dapat mengutip tiga mata penuh pada malam esok (malam ini) berdasarkan kepada aksi cemerlang pada perlawanan yang lebih mencabar sebelum ini,” kata Devan ketika dihubungi KOSMO! semalam.

Devan berkata, dia tidak akan membuat sebarang perubahan dalam kesebelasan pemain pada perlawanan malam ini.

“Saya mahukan mereka meneruskan rentak kemenangan ini hingga ke akhir liga.

“Setakat ini saya puas hati dengan semangat juang dan persefahaman yang ditunjukkan pemain dan berharap mereka dapat mengekalkannya hingga ke penghujung musim ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, semua pemain Kuala Muda Naza kini berada pada tahap kecergasan yang baik kecuali pemain tengah, Manzoor Azwira Abd. Wahid yang mungkin di rehatkan akibat kecederaan.

Kuala Muda Naza kini berada di tangga kedua dengan mengutip 15 mata manakala Harimau Muda pula tangga kelapan dengan enam mata

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0118&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4wKg8f0TB
Hakcipta terpelihara

Sabtu, 21 Oktober 2017

Johor PBT lebar penguasaan



 
ARKIB : 12/01/2008
Johor PBT lebar penguasaan
PEMAIN PKNS, Mohd Alafi Mahmud (kiri) cuba merampas bola daripada pemain Felda United, Ahmad Norfaizal Patrick Abdullah pada pertemuan PKNS menentang Felda United di Stadium MPPJ, Petaling Jaya. Felda United menang 2-1. – Gambar MOHD NAZUDEEN MAHMUD.

KUALA LUMPUR – Johor PBT mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Perdana selepas membenam Harimau Muda 2-0 pada perlawanan di STADIUM TAN SRI HASAN YUNOS, JOHOR BAHRU, semalam.

Kemenangan selesa ke atas pasukan bawah 19 tahun negara itu membolehkan Johor PBT kini mengumpul 13 mata daripada lima perlawanan.

Bagaimanapun Johor PBT terpaksa menunggu hingga penghujung babak kedua untuk menembusi kubu Harimau Muda menerusi pemain import mereka, Otelo Ocampos Espinola pada minit ke-73 dan 83.

Mengekori rapat Johor PBT ialah Kuala Muda Naza yang menewaskan Shahzan Muda 3-0 pada perlawanan di STADIUM DARUL AMAN, ALOR STAR.

Pemain import Kuala Muda, Ikenwa Ekene Michael melakukan hatrik pada perlawanan berat sebelah itu apabila menjaringkan gol pada minit ke-57, 66 dan 87.

Kuala Muda Naza kini hanya ketinggalan satu mata sahaja di belakang Johor PBT dengan 12 mata.

KL Plus pula melonjak satu anak tangga di tempat ketiga liga hasil kemenangan 3-1 ke atas Melaka pada perlawanan di STADIUM MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG.

Pasukan itu memintas Sabah yang terus hanyut dengan kekalahan demi kekalahan selepas bermula baik di awal musim termasuk berada di puncak liga sebelum ini.

Sabah gagal mengekalkan kelebihan gol pendahuluan apabila Kelantan bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 pada perlawanan di STADIUM SULTAN MUHAMMAD KE-IV, KOTA BHARU.

Bobby Gonzales meletakkan Sabah lebih dulu di depan apabila menjaringkan gol ketika perlawanan baru berlangsung 25 saat.

Bagaimanapun Kelantan tidak patah semangat dengan menjaringkan dua gol di babak kedua menerusi Mahmadou Mustafa pada minit ke-62 dan 85.

Kuala Lumpur pula mencipta kemenangan kedua mereka musim ini selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 4-1 pada perlawanan di STADIUM KLFA, CHERAS.

Hasnol Hamzah membuka jaringan buat pasukan ibu kota itu pada minit ke-48 sebelum diikuti gol Bekoe Cofie (m-57), Ivan Yusoff (m-86) dan Cirelli Juan Marcelo (m-89).

Manakala gol tunggal ATM dijaringkan Mohd. Rosfizam Osman pada minit ke- 73.

Di STADIUM PETALING JAYA, Felda United mencipta kemenangan pertama mereka musim ini apabila menewaskan tuan rumah, PKNS 2-1.

Eric Arsene menjaringkan gol pertama pelawat pada minit ke-7 diikuti gol kedua menerusi Al-Hakim Romli pada minit ke-50.

K. Sanbagamaran menghasilkan gol saguhati buat PKNS pada minit-minit terakhir permainan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4w8AQFrw5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 20 Oktober 2017

Harimau Muda kena rantai



PEMAIN Johor, Khairul Ismail (kanan) bersaing dangan pemain Harimau Muda, Kavi Chelvan pada aksi di Stadium Larkin.

IMPIAN menggunung skuad Harimau Muda untuk ‘berseronok’ dan meleburkan rekod tanpa kalah Johor punah apabila tewas 0-2 pada saingan bola sepak Liga Perdana di Stadium Larkin, Johor Bahru malam tadi.

Tonggak import Johor, Otelo Ocampos Espinola muncul wira pasukannya apabila mudah menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-73 dan ke-83.

Terdahulu, peluang terbaik tuan rumah untuk memecah kebuntuan hadir pada minit ke-20 apabila Tumba Laurent yang mendapat hantaran lintang Mohd. Tuah Iskandar dari sebelah kiri sekadar merembat sipi sedangkan penjaga gol Harimau Muda, Mohd. Zamir telah tertewas.

Mohd. Zamir sekali lagi bertindak cemerlang apabila berjaya menggagalkan cubaan Laurent dalam kotak penalti sepuluh minit kemudian meskipun gagal menangkap kemas percubaan jarak jauh Hairy Azly Mahamad sejurus sebelum itu.

Keputusan kekal 0-0 pada separuh masa pertama.

Skuad bimbingan K. Rajagobal yang menggandakan asakan sebaik babak kedua bermula hampir mencemaskan 500 penyokong tuan rumah apabila rembatan jarak jauh Ahmad Fakri hampir menepati sasaran.

Kesilapan penjaga gol Johor, S. Shankar menangkap kemas bola lambung hasil cubaan Tamil Arasu pada minit ke-57 nyaris mengundang padah, tetapi bola berjaya dikeluarkan daripada kawasan bahaya oleh pemain pertahanan.

Harimau Muda yang diasak bertubi-tubi semakin tertekan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mohammad Irfan dilayangkan kad merah pada minit ke-65 selepas menerima kad kuning kedua pada perlawanan itu.

Gol pendahuluan tuan rumah akhirnya menjelma pada minit ke-73 setelah Otelo Ocampos Espinola mudah menguis masuk gol selepas menyambar lantunan bola hasil cubaan jarak jauh Mohd. Ibrahim Mohd. Ismail yang terkena palang sebelum itu.

Otelo Ocampos sekali lagi bertindak cemerlang apabila tenang menyambar hantaran Hairy Azly tujuh minit sebelum perlawanan tamat untuk kedudukan 2-0.

Dengan kemenangan itu, Johor yang masih kebal dengan rekod tanpa kalah kini kekal menerajui liga dengan 13 matai

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4w7Wy2PJJ
Hakcipta terpelihara

Harimau Muda mahu ‘berseronok’



 Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH

TURUN selaku pasukan bukan pilihan, jelas sekali tidak memberi tekanan kepada barisan Harimau Muda menjelang pertemuan dengan Johor pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos malam ini.

Sedar akan reputasi mereka selaku pendatang baru, skuad bimbingan K. Rajagobal itu hanya mahu ‘berseronok’ seperti aksi perlawanan sebelumnya.

Apa pun keputusan malam ini, Rajagobal tidak ambil peduli, kerana baginya, pemain mudanya menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan.

“Ingin saya jelaskan sekali lagi bahawa penyertaan kami dalam Liga Malaysia adalah untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada pemain muda ini dengan menentang pasukan berpengalaman yang mempunyai pemain import,” kata Rajagobal kepada KOSMO! semalam.

“Kami akan turun beraksi seperti biasa, macam perlawanan yang lepas dan saya tidak meletakkan sebarang sasaran kepada mereka kerana tidak mahu memberi tekanan kepada pemain.

“Apa jua keputusan malam esok (hari ini), ia tidak begitu penting kerana apa yang saya mahu mereka terus belajar dan mengutip pengalaman daripada pihak lawan.

“Pengalaman ini akan menjadi pendedahan awal buat pemain bawah 19 tahun ini untuk terus memantapkan persembahan mereka pada masa depan. Itulah matlamat asal kami.”

PEMAIN skuad bawah 19 kebangsaan akan beraksi tanpa tekanan pada pertemuan dengan Johor pada aksi Liga Perdana malam ini.

Biarpun tanpa sebarang sasaran pada penampilan sulung mereka dalam Liga Perdana, skuad bawah 19 tahun itu sudahpun membuktikan bahawa mereka bukan ‘budak mentah’ apabila mencipta dua kemenangan dalam tiga perlawanan.

“Setakat ini, saya puas hati dengan peningkatan yang dipamerkan pemain yang rata-ratanya berusia 17 hingga 19 tahun ini.

“Menang dua perlawanan tidak memberi makna jika pemain gagal mempamerkan peningkatan. Saya mahu mereka terus memperbaiki mutu persembahan,” tambah Rajagobal lagi.

Rajagobal juga menambah, sebagai pasukan bukan pilihan, dia mahu pemainnya menganggap setiap pasukan lawan sebagai pasukan pilihan.

“Setiap lawan kami adalah pasukan pilihan, jadi kami tidak akan ambil mudah pada setiap pertemuan itu.

“Walaupun kami menang 2-1 ke atas Kuala Lumpur tempoh hari, saya tidak mahu mendabik dada kerana Johor adalah pasukan yang hebat serta menduduki tangga teratas Liga Perdana ketika ini.

“Saya tidak akan membuat banyak perubahan dalam barisan pemain, mungkin satu atau dua pemain sahaja kerana saya tidak mahu menjejaskan rentak mereka. Kita tunggu dan lihat saja esok (hari ini),” katanya lagi

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4w7QoU4Ae
Hakcipta terpelihara

Skuad Harimau Muda tunjuk kehebatan sebenar



Skuad Harimau Muda tunjuk kehebatan sebena
PEMAIN Harimau Muda, Abdul Shukur (kanan) diberi saingan oleh pemain import Proton FC, Talabi Olademeji Mathew pada aksi Liga Perdana di Stadium MPPJ semalam.

SKUAD Harimau Muda mula mempamerkan kegarangan dalam kempen Liga Perdana apabila menundukkan Proton FC 3-1 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya semalam.

Skuad bawah 19 tahun kebangsaan pimpinan K. Rajagobal itu bagaimanapun terpaksa menunggu hingga minit ke-44 untuk membuka jaringan menerusi gerakan solo A. Thamil.

Selang seminit bersambung pada babak kedua, Thamil sekali lagi menewaskan Kamarulzaman untuk membolehkan Harimau Muda mendahului 2-0.

Proton FC bangkit seketika untuk merapatkan kedudukan pada minit ke-66 menerusi penyerang importnya, Aguama Stanley Ogochukwu, sebelum Ahmad Fakri Saarani memastikan kemenangan 3-1 Harimau Muda pada minit ke-86.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, jaringan seawal minit pertama oleh pemain import, Terico Nunes Marcado sudah cukup untuk KL Plus menundukkan PKNS 1-0.

Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru, Kelantan berjaya menundukkan Melaka 3-1 dalam satu lagi perlawanan Liga Perdana.

Di Stadium Darul Aman Alor Star, Kuala Muda Naza yang beraksi di gelanggang sendiri menggunakan segala kelebihan untuk menewaskan Felda United FC 2-1.

Felda United FC yang bermula garang terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Azwadi Embong dilayangkan kad merah pada minit ke-36 selepas mengasari pemain pasukan Kula Muda Naza Ismel C. Swen.

Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pasukan tuan rumah Kuala Lumpur berjaya menghalang Sabah daripada meraih tiga mata penuh apabila perlawanan berkesudahan dengan seri 1-1.

Di Stadium Larkin, Johor menewaskan Shahzan Muda 3-1 untuk menduduki tangga teratas Liga serta mengekalkan rekod tanpa kalah setelah tiga perlawanan.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_13.htm#ixzz4w4C3o9Y0
Hakcipta terpelihara

Harimau Muda pulang muram selepas tewas 1-2 kepada ATM



ARKIB : 29/12/2007

SELAYANG - Harimau muda seperti yang diduga, mengorak langkah sulung dalam kempen saingan Liga Perdana musim 2007/2008 ini dengan sentuhan kecundang 2-1 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.

Pengalaman skuad bawah 19 tahun Malaysia ini yang cetek ekoran kemunculan sulung mereka jelas terpapar sehingga perlawanan yang bersaksikan lebih kurang 200 penonton ini di kuasai oleh tentera.

Anak didik jurulatih, K. Rajagopal ini bagaimanapun menampilkan semangat dan kerajinan tinggi untuk mengejar setiap pergerakan bola di kaki lawan lebih senior mereka.

ATM pula tampil dengan keazaman menebus kekalahan besar kepada Sabah 4-0 di gelanggang ini pada 7 Disember lalu, apatah lagi memiliki kelebihan pemain yang lebih matang dan kehadiran dua tonggak import iaitu Jonathan Yamoah dan Preston Papie.

Kelalaian benteng Harimau Muda dihukum oleh tandukan masuk Yamoah pada minit ke-18 selepas menyambar sepakan bebas Zool Ihsan Yunus sekali gus menewaskan penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat.

ATM terus memanfaatkan kerapuhan benteng tuan rumah tiga minit sebelum berakhirnya babak pertama apabila mereka melepasi perangkap ofsaid sebelum mendapat gol kedua menerusi terjahan Mazeri Ikhwan Mukhtar.

Namun, semangat juang Harimau Muda yang tetap menyala ketika permainan berbaki seminit mendorong mereka merapatkan jurang setelah Ahmad Fakri menanduk masuk umpanan lintang sebelah kiri daripada Kavi Chelvan.

Keletihan Harimau Muda mendorong Rajagopal memasukkan tiga lagi pemain tetapi masih gagal mengubah kedudukan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4w3z8XKsr
© Utusan Melayu (M) Bhd