Jumaat, 20 Oktober 2017

Harimau Muda kena rantai



PEMAIN Johor, Khairul Ismail (kanan) bersaing dangan pemain Harimau Muda, Kavi Chelvan pada aksi di Stadium Larkin.

IMPIAN menggunung skuad Harimau Muda untuk ‘berseronok’ dan meleburkan rekod tanpa kalah Johor punah apabila tewas 0-2 pada saingan bola sepak Liga Perdana di Stadium Larkin, Johor Bahru malam tadi.

Tonggak import Johor, Otelo Ocampos Espinola muncul wira pasukannya apabila mudah menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-73 dan ke-83.

Terdahulu, peluang terbaik tuan rumah untuk memecah kebuntuan hadir pada minit ke-20 apabila Tumba Laurent yang mendapat hantaran lintang Mohd. Tuah Iskandar dari sebelah kiri sekadar merembat sipi sedangkan penjaga gol Harimau Muda, Mohd. Zamir telah tertewas.

Mohd. Zamir sekali lagi bertindak cemerlang apabila berjaya menggagalkan cubaan Laurent dalam kotak penalti sepuluh minit kemudian meskipun gagal menangkap kemas percubaan jarak jauh Hairy Azly Mahamad sejurus sebelum itu.

Keputusan kekal 0-0 pada separuh masa pertama.

Skuad bimbingan K. Rajagobal yang menggandakan asakan sebaik babak kedua bermula hampir mencemaskan 500 penyokong tuan rumah apabila rembatan jarak jauh Ahmad Fakri hampir menepati sasaran.

Kesilapan penjaga gol Johor, S. Shankar menangkap kemas bola lambung hasil cubaan Tamil Arasu pada minit ke-57 nyaris mengundang padah, tetapi bola berjaya dikeluarkan daripada kawasan bahaya oleh pemain pertahanan.

Harimau Muda yang diasak bertubi-tubi semakin tertekan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mohammad Irfan dilayangkan kad merah pada minit ke-65 selepas menerima kad kuning kedua pada perlawanan itu.

Gol pendahuluan tuan rumah akhirnya menjelma pada minit ke-73 setelah Otelo Ocampos Espinola mudah menguis masuk gol selepas menyambar lantunan bola hasil cubaan jarak jauh Mohd. Ibrahim Mohd. Ismail yang terkena palang sebelum itu.

Otelo Ocampos sekali lagi bertindak cemerlang apabila tenang menyambar hantaran Hairy Azly tujuh minit sebelum perlawanan tamat untuk kedudukan 2-0.

Dengan kemenangan itu, Johor yang masih kebal dengan rekod tanpa kalah kini kekal menerajui liga dengan 13 matai

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4w7Wy2PJJ
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan