Jumaat, 20 Oktober 2017

Harimau Muda mahu ‘berseronok’



 Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH

TURUN selaku pasukan bukan pilihan, jelas sekali tidak memberi tekanan kepada barisan Harimau Muda menjelang pertemuan dengan Johor pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos malam ini.

Sedar akan reputasi mereka selaku pendatang baru, skuad bimbingan K. Rajagobal itu hanya mahu ‘berseronok’ seperti aksi perlawanan sebelumnya.

Apa pun keputusan malam ini, Rajagobal tidak ambil peduli, kerana baginya, pemain mudanya menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan.

“Ingin saya jelaskan sekali lagi bahawa penyertaan kami dalam Liga Malaysia adalah untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada pemain muda ini dengan menentang pasukan berpengalaman yang mempunyai pemain import,” kata Rajagobal kepada KOSMO! semalam.

“Kami akan turun beraksi seperti biasa, macam perlawanan yang lepas dan saya tidak meletakkan sebarang sasaran kepada mereka kerana tidak mahu memberi tekanan kepada pemain.

“Apa jua keputusan malam esok (hari ini), ia tidak begitu penting kerana apa yang saya mahu mereka terus belajar dan mengutip pengalaman daripada pihak lawan.

“Pengalaman ini akan menjadi pendedahan awal buat pemain bawah 19 tahun ini untuk terus memantapkan persembahan mereka pada masa depan. Itulah matlamat asal kami.”

PEMAIN skuad bawah 19 kebangsaan akan beraksi tanpa tekanan pada pertemuan dengan Johor pada aksi Liga Perdana malam ini.

Biarpun tanpa sebarang sasaran pada penampilan sulung mereka dalam Liga Perdana, skuad bawah 19 tahun itu sudahpun membuktikan bahawa mereka bukan ‘budak mentah’ apabila mencipta dua kemenangan dalam tiga perlawanan.

“Setakat ini, saya puas hati dengan peningkatan yang dipamerkan pemain yang rata-ratanya berusia 17 hingga 19 tahun ini.

“Menang dua perlawanan tidak memberi makna jika pemain gagal mempamerkan peningkatan. Saya mahu mereka terus memperbaiki mutu persembahan,” tambah Rajagobal lagi.

Rajagobal juga menambah, sebagai pasukan bukan pilihan, dia mahu pemainnya menganggap setiap pasukan lawan sebagai pasukan pilihan.

“Setiap lawan kami adalah pasukan pilihan, jadi kami tidak akan ambil mudah pada setiap pertemuan itu.

“Walaupun kami menang 2-1 ke atas Kuala Lumpur tempoh hari, saya tidak mahu mendabik dada kerana Johor adalah pasukan yang hebat serta menduduki tangga teratas Liga Perdana ketika ini.

“Saya tidak akan membuat banyak perubahan dalam barisan pemain, mungkin satu atau dua pemain sahaja kerana saya tidak mahu menjejaskan rentak mereka. Kita tunggu dan lihat saja esok (hari ini),” katanya lagi

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4w7QoU4Ae
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan