Jumaat, 20 Oktober 2017

Harimau Muda pulang muram selepas tewas 1-2 kepada ATM



ARKIB : 29/12/2007

SELAYANG - Harimau muda seperti yang diduga, mengorak langkah sulung dalam kempen saingan Liga Perdana musim 2007/2008 ini dengan sentuhan kecundang 2-1 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.

Pengalaman skuad bawah 19 tahun Malaysia ini yang cetek ekoran kemunculan sulung mereka jelas terpapar sehingga perlawanan yang bersaksikan lebih kurang 200 penonton ini di kuasai oleh tentera.

Anak didik jurulatih, K. Rajagopal ini bagaimanapun menampilkan semangat dan kerajinan tinggi untuk mengejar setiap pergerakan bola di kaki lawan lebih senior mereka.

ATM pula tampil dengan keazaman menebus kekalahan besar kepada Sabah 4-0 di gelanggang ini pada 7 Disember lalu, apatah lagi memiliki kelebihan pemain yang lebih matang dan kehadiran dua tonggak import iaitu Jonathan Yamoah dan Preston Papie.

Kelalaian benteng Harimau Muda dihukum oleh tandukan masuk Yamoah pada minit ke-18 selepas menyambar sepakan bebas Zool Ihsan Yunus sekali gus menewaskan penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat.

ATM terus memanfaatkan kerapuhan benteng tuan rumah tiga minit sebelum berakhirnya babak pertama apabila mereka melepasi perangkap ofsaid sebelum mendapat gol kedua menerusi terjahan Mazeri Ikhwan Mukhtar.

Namun, semangat juang Harimau Muda yang tetap menyala ketika permainan berbaki seminit mendorong mereka merapatkan jurang setelah Ahmad Fakri menanduk masuk umpanan lintang sebelah kiri daripada Kavi Chelvan.

Keletihan Harimau Muda mendorong Rajagopal memasukkan tiga lagi pemain tetapi masih gagal mengubah kedudukan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4w3z8XKsr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan