Jumaat, 20 Oktober 2017

Harimau Muda simpan kuku



ARKIB : 19/12/2007

KUALA LUMPUR – Skuad bawah 19 tahun Malaysia atau dikenali sebagai Harimau Muda tidak meletakkan sasaran apabila membuat penampilan sulung dalam saingan bola sepak Liga Perdana, minggu depan.

Perjalanan anak-anak buah K. Rajagopal akan bermula secara rasmi pada 28 Disember ini apabila mereka menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kelmarin, ATM dibelasah 4-0 oleh Sabah pada perlawanan sulung mereka di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, keputusan yang pasti memberi keyakinan tambahan kepada Harimau Muda untuk memulakan kempen merekai.

Bagaimanapun bagi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), apa yang paling penting adalah melihat pemain menggunakan peluang beraksi dalam kancah liga domestik untuk meraih sebanyak mungkin pengalaman, sekali gus menjadikan mereka lebih bersedia membawa cabaran di peringkat senior.

Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin berkata, pendedahan skuad bawah 19 tahun kepada pertandingan liga akan menjadi platform untuk menyiapkan mereka sebelum menggalas tanggungjawab lebih besar pada masa akan datang.

‘‘Kami bernasib baik kerana MSN (Majlis Sukan Negara) bersetuju untuk menyokong penyertaan skuad Harimau Muda dalam Liga Perdana.

‘‘Harapan kami agar pemain-pemain dapat menggunakan peluang ini untuk memperbaiki permainan kerana dengan beraksi dalam kancah Liga Perdana mereka mampu menjadi pemain yang lebih baik,’’ kata Khairy pada majlis menandatangani kontrak di antara FAM dan pemain di Wisma FAM, semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, wakil Nike Malaysia, Siva Shankar dan pengarah Air Asia, Fam Lee Ee.

Pada ketika MSN akan menjadi sumber kewangan utama pasukan, Air Asia pula akan menyumbangkan tiket penerbangan untuk semua perlawanan di luar Kuala Lumpur, manakala Nike Malaysia menyediakan kelengkapan Harimau Muda

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4w3WNIwIm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan