Sabtu, 18 November 2017

KL PLUS kukuh kedudukan teratas



 
ARKIB : 11/03/2008
PEMAIN KL PLUS, Tercio Nunes Machado (kanan) mengasak pemain Proton FC, Aguama Stanley Ogochukwu pada persaingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam. KL PLUS menang 3-0. – Gambar ZULAZHAR SHEBLEE.

KUALA LUMPUR – KL PLUS mengukuhkan kedudukan pendahulu bola sepak Liga Perdana selepas mencatat kemenangan ke-12 musim ini dengan menundukkan Proton FC, 3-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.

Tiga jaringan pada separuh masa kedua, termasuk dua gol dalam tempoh 20 minit terakhir membolehkan KL PLUS menerajui liga dengan empat mata.

Penyerang Argentina, Adrian Dario Trinidad membuka jaringan tuan rumah pada minit ke-50, sebelum Tracio Nunez Marchado dan Mohd. Lot Abu Hassan menambah gol pada minit ke-70 dan 74.

Johor Pasir Gudang (Johor) terlepas peluang untuk merapatkan jurang mata selepas kecundang 3-1 kepada Kelantan di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota Baru.

Kekalahan Johor itu membolehkan wakil Kedah, Kuala Muda Naza merampas kedudukan kedua liga selepas menumpaskan Kuala Lumpur 3-2 di Stadium UUM, Sintok.

Mohd. Badri Radzi menjaringkan dua gol pembukaan Kelantan pada minit ke-33 dan 50 sebelum namun pelawat merapatkan jurang 2-1 menerusi Tumba Laurent pada minit 55.

Gol Mohd. Ramzul Zahini, 11 minit sebelum tamat saingan memastikan Kelantan menang 3-1.

Di Sintok, Kuala Muda Naza terlebih dulu dikejutkan dengan gol pembukaan Kuala Lumpur yang dijaringkan Impraim Godfred Attah pada minit ke-23 sebelum bangkit dengan tiga gol menerusi Jose Antonio (41), Azralan Azmi (58) dan Liew Kit Kong, minit ke-75.

Kuala Lumpur sekali lagi mencemaskan tuan rumah apabila merapatkan kedudukan 3-2 menerusi Attah pada minit ke-88, namun gol kedua pemain Ghana itu sudah terlewat untuk mengejar lawan.

Sementara itu di Stadium Hang Tuah, Melaka mensia-siakan kelebihan mendahului 2-0 apabila tumpas 2-3 kepada Sabah.

Jaringan hatrik penyerang Brazil, Andre Scotti pada minit ke-31, 39 dan 69 melenyapkan dua gol tuan rumah yang sebelum itu dijaringkan oleh Kofi Estiba pada minit ketujuh dan 23.

Perlawanan di Melaka itu juga turut menyaksikan insiden penonton cuba menyerang pengadil ekoran tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.

Di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, dua jaringan Fathurazi Rozi membantu Selangor PKNS menundukkan Tentera 3-2.

Tentera bagaimanapun terlebih dulu membuka jaringan pada minit keenam menerusi Mohd. Arshad Ayup, sebelum PKNS bangkit dengan dua gol Fathurazi pada minit ke-16 dan 50.

Tengku Adam Tengku Rosly melebarkan kedudukan kepada 3-1 apabila menambah gol ketiga PKNS di minit ke-52, namun James Moorey menjaringkan gol saguhati Tentera di minit ke-88.

Dalam satu lagi perlawanan, dua jaringan Ahmad Fakri Saarani, 12 minit sebelum tamat permainan membantu skuad bawah 19 tahun kebangsaan, Harimau Muda menundukkan Felda United 3-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Harimau Muda sebelum itu membuka jaringan menerusi Tamil Arasu pada minit keenam, namun terikat 1-1 selepas tamat babak pertama hasil gol penyamaan Khairul Izwan di minit ke-19.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4yn81rtyO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 3 November 2017

Harimau Muda tidak 'tahan' lama



ARKIB : 03/02/2008

KUALA LUMPUR - Walaupun bermain sembilan perlawanan dalam saingan Liga Perdana, jurulatih Harimau Muda, K. Rajagopal masih gusar dengan kemampuan anak-anak buahnya yang hanya beraksi baik pada separuh masa pertama sebelum goyah untuk baki seterusnya.

''Dalam tujuh perlawanan sebelum ini pemain saya beraksi dengan dengan baik pada separuh masa pertama sahaja tetapi tidak dapat mengekalkan rentak pada separuh masa kedua,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, kelmarin.

Pada perlawanan menentang Felda United, skuad bimbingan Rajagopal itu menang 2-0.

''Saya tidak mahu menyalahkan pemain 100 peratus jika mereka tidak beraksi dengan baik kerana kita perlu melihat semula objektif penubuhan pasukan ini.

''Mereka (Harimau Muda) masih belum matang lagi dan setiap perlawanan yang ditempuhi adalah bertujuan untuk mematangkan pemain seperti perlawanan malam ini yang dianggap sukar berdepan dengan pasukan Felda United,'' kata Rajagopal.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4xPjbXCp9
© Utusan Melayu (M) Bhd