Selasa, 19 Disember 2017

Cedera bukan halangan Harimau Muda



ARKIB : 11/02/2009
KUALA LUMPUR - Sekiranya aksi menentang Proton dalam Liga Perdana umpama satu ujian ketahanan pemain terhadap tekanan, jelaslah Harimau Muda berjaya mengharunginya dengan cemerlang di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Tertekan tanpa tonggak yang tercedera sebelum dan ketika perlawanan selain cubaan kebangkitan lawan, masih dapat diatasi oleh skuad bola sepak bawah 20 tahun negara ini, malah mampu mengejutkan kelab dari Selangor itu, 4-2.

Jurulatih Harimau Muda, K. Rajagopal mengakui, satu ketika dia bagaikan kehilangan idea apabila ada pemain utamanya yang terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan sehingga barisan belakang didapati mulai longgar.

“Apabila Proton menyamakan 1-1 (daripada gol penalti Ahmad Aminuddin Shaharuddin) dan mengasak kami bertubi-tubi dalam keadaan pemain kami yang tercedera dan benteng pula longgar, saya rasa kami seperti sudah tidak boleh berbuat apa-apa.

“Keadaan semakin mendesak setelah gol kedua kami (Shahrul Hafiz Shafei) pula disamakan lawan pada babak kedua,” katanya yang terpaksa menggesa anak buahnya menukar corak permainan supaya lebih pantas untuk mengekang seterusnya mengatasi skuad bimbingan Yunus Aliff itu.

Dorongan Rajagopal kepada pemain remaja negara ini dari bilik persalinan pada waktu rehat itu, menghasilkan kejayaan mendadak apabila mereka beroleh dua gol lagi untuk mengesahkan tiga mata sekali gus menerajui Liga Perdana selepas tiga perlawanan.

Buktinya, sentuhan penyudah Ahmad Aminuddin menjadi lagi selain sokongan gol terakhir Fandi Othman masing-masing pada minit ke-78 dan 90 di samping pergerakan lancar pasukan di padang hasil hantaran bola yang kemas lagi tepat secara sepasukan.

“Saya sentiasa mengingatkan pasukan bahawa inilah masanya untuk membuktikan bahawa mereka mampu bermain dalam apa keadaan tertekan sekalipun termasuk ketika kecederaan atau tentangan hebat lawan,” katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51ixFgaC6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan