Jumaat, 22 Disember 2017

Harimau Muda garang

ARKIB : 26/02/2009
 
PEMAIN Terengganu, Abd. Manaf Mamat (kiri) diasak lawannya daripada Harimau Muda, K. Gurusamy (tengah) dalam saingan Piala FA di Bukit Jalil, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Kegarangan Harimau Muda semakin terserlah apabila menterjemahkannya dengan kemenangan membaham skuad Penyu di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Bukan mudah untuk bangkit dari ketinggalan 1-2 secara agregat setelah dipasung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu minggu lepas.

Skuad pelapis negara itu gugup pada babak pertama sehingga membolehkan Terengganu melebarkan jurang agregat pada minit ke-43.

Namun, segalanya berubah pada babak kedua. Anak buah K. Rajagopal mula menunjukkan belang sehingga Terengganu menyerah dengan tiga jaringan dalam masa 11 minit bagi membolehkan Harimau Muda melangkah ke kelompok lapan pasukan dalam saingan mengejar kejuaraan Piala FA.

Percaturan mudah Rajagopal memasukkan Izzaq Faris Ramlan pada minit ke-57 ternyata membangkitkan semula semangat Harimau Muda.

"Kemunculan Izzaq benar-benar membantu memberi tekanan kepada barisan pertahanan Terengganu. Pergerakannya sering kali mengkucar-kacirkan pertahanan lawan," kata jurulatih yang pernah membimbing Selangor itu.

Rajagopal mengakui, sebelum kemasukan Izzaq, anak didiknya seakan gugup untuk berhadapan dengan Terengganu yang disifatkan sebagai lebih matang dan berpengalaman.

"Sewaktu rehat, saya mengingatkan para pemain agar kembali bermain seperti biasa. Terus terang saya katakan pada mereka, lebih baik mereka tidak bermain langsung daripada beraksi seperti itu.

"Teguran itu nampaknya berjaya membangkitkan semangat para pemain. Saya menggesa mereka agar membuktikan kemampuan masing-masing dan mereka mengambil cabaran itu dengan positif pada babak kedua," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz522iN1vMG

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan