Jumaat, 22 Disember 2017

Harimau Muda tak gerun

ARKIB : 24/02/2009
Oleh RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.commy
KUALA LUMPUR - Kemenangan 2-1 pada perlawanan pertama pusingan kedua Piala FA Sabtu lepas, berserta status selaku pasukan Liga Super yang dimiliki Terengganu, tidak langsung mendatangkan tekanan buat skuad Harimau Muda menjelang perlawanan kedua malam ini.

Jurulatih Harimau Muda, K. Rajagopal sebaliknya memulangkan tekanan itu kepada skuad Penyu kerana menganggap pasukan itu perlu lebih berhati-hati untuk mempertahankan kelebihan satu gol meskipun menentang skuad muda yang rata-ratanya cuma berusia 18 ke 19 tahun.

"Pemain skuad kami masih berada di peringkat pembelajaran. Setiap perlawanan yang dilalui dianggap sebagai medan untuk menambah pengalaman. Maka, tiada apa yang perlu dikhuatirkan mengenai keputusan setiap perlawanan.

"Bagi saya, Terengganu yang sepatutnya menghadapi tekanan kerana pasukan itu bermain di Liga Super. Tambahan pula kami cuma memerlukan kemenangan 1-0 untuk layak berdasarkan jaringan di tempat lawan. Sudah tentu ia menjadi sesuatu yang meresahkan Terengganu," katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam perlawanan pertama, pusingan kedua Piala FA kelmarin, Terengganu sekadar memiliki kelebihan satu gol ke atas skuad bawah 20 tahun negara apabila menang 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Hari ini, kedua-dua pasukan itu akan sekali lagi berentap di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk melayakkan diri di kalangan lapan pasukan terbaik bagi mengejar kejuaraan Piala FA.

Mengenai kecederaan yang menimpa tiga pemain utama skuad Harimau Muda iaitu Abdul Shukor Jusoh, S. Sivanesan (gambar) dan Mohd. Affize Faisal, Rajagopal tidak terlalu runsing memikirkannya.

"Saya mempunyai 29 orang pemain untuk diketengahkan. Meskipun mereka yang tercedera merupakan antara pemain utama, namun saya turut memiliki keyakinan terhadap kemampuan pemain gantian yang lain.

"Tiada apa yang perlu dirisaukan. Saya akan menilai dengan teliti mengenai siapa yang harus diturunkan dalam perlawanan esok (hari ini)," katanya.

Ditanya adakah spekulasi yang mengaitkan dirinya sebagai jurulatih pasukan kebangsaan turut mengganggu tumpuannya mempersiapkan Harimau Muda, Rajagopal enggan mengulas.

"Sesiapa pun boleh membuat spekulasi tetapi tumpuan saya ketika ini hanya kepada Harimau Muda. Setakat ini saya cuma menumpukan kepada satu demi satu perlawanan yang bakal dilalui skuad muda negara ini," ujarnya



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz520UeD7B2

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan