Selasa, 19 Disember 2017

Harimau Muda terus rentak kejayaan



ARKIB : 10/02/2009
 
PEMAIN Proton FC, Mohd. Zamri Hassan (kiri) diasak pemain Harimau Muda, Muhd. Zulhariz ketika perlawanan
Liga Perdana di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
- UTUSAN/ROY AZIS ABD. AZIZ

KUALA LUMPUR - Skuad bawah 20 negara, Harimau Muda menyambung rentak kemenangan dalam persaingan bola sepak Liga Perdana 2009 selepas menumpaskan Proton 4-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Dua jaringan Ahmad Aminuddin Shaharuddin, selain gol Shahrul Hafiz dan Fandi Othman membawa skuad bimbingan K. Rajagopal itu mencatat kemenangan ketiga berturut-turut untuk kekal sebagai pendahulu.

Harimau Muda membuka tirai gol pada minit ke-18 menerusi sepakan penalti yang diambil Aminuddin, namun rembatan kencang Azralan Azmi pada minit ke-40 berjaya menyamakan kedudukan buat Proton.

Begitupun beberapa minit sebelum tamat babak pertama, tuan rumah kembali di depan menerusi Shahrul Hafiz, yang menggelecek penjaga gol Proton, Iqbal Suhini.

Sejurus babak kedua bermula, Proton yang dibimbing oleh Yunus Alif sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan hasil tandukan Zamri Hassan pada minit ke-53.

Namun, semangat juang skuad muda negara yang tinggi menyaksikan tiga mata berjaya digenggam selepas menambah dua lagi gol menerusi Ahmad Aminuddin dan Fandi Othman

Sementara itu, Johor melonjak ke tangga kedua liga selepas membelasah Melaka 4-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru.

Azrine Affendi Sa'buddin menyumbat dua gol tuan rumah pada m-46 dan 84, diikuti jaringan Mohd. Khairul Ismail pada m-68 dan Mohd. Sairozi Daud, m-75.

T-Team pula terus menjadi pencabar utama liga selepas menang 4-1 ke atas PKNS Selangor di Stadium Petaling Jaya untuk berada di tangga ketiga.

Walaupun terlebih dulu membuka jaringan menerusi Fatrulrazi Rozi pada m-13, namun dua jaringan Hairuddin Omar (m-22, 70), Haris Safuan (m-45) dan Rosdi Talib (m-60) memastikan T. Team pulang bersama tiga mata.

Sabah menghuni tangga keempat selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas MBJB Johor di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Tuan rumah memperoleh dua gol dalam tempoh empat minit menerusi sepakan penalti Zulamri Muhammad pada m-64, diikuti tandukan Alto Jinus, m-68.

Di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching, Sarawak tunduk 1-2 kepada Felda United.

Felda akhirnya mencatat kemenangan pertama musim ini hasil jaringan Khairul Izwan Khalid dan sepakan penalti Nazrulerwan Makmor.

Dalam perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, dua jaringan M. Badrul Hisyam Azmi pada lewat permainan membantu Kuala Lumpur bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mengikat Shahzan Muda 2-2.

Shahzan membuka jaringan pada m-50 menerusi R. Tharumarajah dan menambah gol di m-69 menerusi Rajesh Perumal, tetapi Badrul mengelak tuan rumah daripada mengalami kekalahan dengan gol penyamaan m-74 dan 87.

Perlawanan SDM Kuala Batas dan Angkatan Tentera Malaysia di Stadium Negeri, Batu Kawan berakhir seri tanpa jaringan

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51hsvvGmK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan