Jumaat, 15 Disember 2017

Harimau Muda tunjuk taring

ARKIB : 13/01/2009
KUALA LUMPUR – Harimau Muda menguatkan cengkaman selaku teraju persaingan bola sepak Liga Perdana musim 2009 dengan mengukir kemenangan kedua, 2-0 ke atas Sinar Dimaja Mai Sarah di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang, semalam.

Mata penuh buat skuad remaja kebangsaan bimbingan K. Rajagopal ke atas kelab muka baru liga dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu dipastikan dengan jaringan Sivanesan Shanmugam dan Ahmad Aminuddin Shahruddin pada minit ke-62 dan 82.

Satu lagi muka baru liga, T-Team beraksi garang membelasah Angkatan Tentera 4-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang menerusi jaringan hatrik Haris Safwan Kamal pada minit ke-18, 60 dan 90 selain satu daripada Nur Aliff Zainal Abidin.

Kelab dari Kuala Terengganu itu kini mengekori Harimau Muda di tangga kedua dengan mengumpul empat mata setelah diikat tanpa jaringan oleh Melaka di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak dalam perlawanan pembuka tirai 9 Januari lalu.

Sabah pula turun ke tangga ketiga setelah cuma mengikat Proton 0-0 di Stadium Petaling Jaya malah membuka ruang Kuala Lumpur merapatinya apabila mereka menundukkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin menerusi jaringan penalti Abdul Hadi Yahya, minit ke-69

Dua jaringan Fairozi Daud pada minit ke-24 dan 45 membawa Johor mengorak langkah kanan pada perlawanan sulungnya dengan mengejutkan Felda United 2-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. Gol tuan rumah dijaringkan oleh Saufi Ibrahim pada minit ke-35.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Shahzan Muda yang dibimbing oleh Dollah Salleh dipaksa berpuas hati untuk berkongsi satu mata setelah diikat 1-1 oleh Sarawak masing-masing menerusi jaringan Rahman Kadir dan Fadly Kasim pada minit ke-56 dan 75
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51NRHMx9P

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan