Rabu, 20 Disember 2017

Harimau tunjuk belang

ARKIB : 17/02/2009
KUALA LUMPUR - Cengkaman Harimau Muda semakin berbisa. Skuad bimbingan K. Rajagopal itu kini gah dengan kelebihan dua mata di tangga teratas Liga Perdana dengan kemenangan 1-0 ke atas MBJB di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru, semalam.

Harimau Muda bagaimanapun diberi tentangan sebelum menemui jaringan kemenangan pada minit ke-88 menerusi tandukan Mohd. Fadhli Mohd. Shaz untuk mengumpul 12 mata maksimum.

Pelawat mengambil kesempatan ke atas pasukan tuan rumah yang beraksi dengan 10 pemain apabila Mohd. Hairulasbah Yunos dilayangkan kad merah pada minit ke-50.

Kelebihan dua mata di puncak liga oleh Harimau Muda dibantu aksi longlai pencabar terdekatnya, Johor yang seri 1-1 dengan T-Team di Stadium Sultan Mizan, Kuala Terengganu.

T-Team di depan hasil jaringan Hazrulhasran Aminuddin Baki di minit ke-12, namun Mohd. Faizul Husin memastikan Johor pulang dengan satu mata hasil gol penyamaan di minit ke-35.

Perlawanan berlangsung sengit sehingga dua pemain dari kedua-dua pasukan dilayangkan kad merah, iaitu pemain Johor Mohd. Nor Hisham Hassan dan Mohd. Sairozi Daud dari T. Team.

Di Stadium Hang Jebat, tuan rumah Melaka seri 1-1 dengan Sarawak. Melaka di depan menerusi gol awal Mohd. Hanafian Abu Bakar di minit kedua dan pelawat terpaksa menunggu hingga minit ke-72 untuk gol penyamaan Joseph Kalang Tie.

Dua lagi perlawanan berakhir dengan seri tanpa jaringan melibatkan Shahzan Muda dengan Sabah di Stadim Darulmakmur dan Felda United menentang Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Di Stadium MBPJ, Proton FC berpesta gol apabila menang 4-1 ke atas pendatang baru, SDM Kepala Batas.

Pelawat bagaimanapun mengejutkan Proton hasil jaringan Mohd. Nor Hamidon di minit ke-25 tetapi kemudiannya bangkit dengan empat gol menerusi Mohd. Zamri Hassan (m-44), Azralan Azmi (m-76, m-90) dan Ashadi Mohd. Yusuf (m-85).

Aksi di tempat sendiri membantu PKNS mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Angkatan Tentara (ATM) di Stadium Selayang, di sini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51qV1zIIr

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan