Selasa, 19 Disember 2017

Rajagopal gembira persembahan Harimau Muda



ARKIB : 06/02/2009

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Kecil jangan disangka anak, itu yang dibuktikan oleh barisan muda bimbingan K. Rajagopal (gambar) selepas mara ke pusingan kedua Piala FA, menang agregat 2-1 ke atas KL Plus, kelmarin.

Pasukan yang dikenali sebagai Harimau Muda itu sebelum ini menang perlawanan pertama di Stadium Bukit Jalil 2-0 tetapi tewas 0-1 dalam perlawanan timbal balik di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Namun, ia sudah cukup untuk menggembirakan jurulatih yang pernah beraksi untuk pasukan Selangor itu, walaupun menganggap perlawanan kedua kelmarin cukup sukar untuk dihadapi mereka.

''Saya sudah menjangkakan perlawanan kedua pada hari ini (kelmarin) memang begitu sukar tambahan pula KL Plus yang ketinggalan 2-0 cuba sedaya upaya untuk menyamakan kedudukan agregat,'' katanya selepas perlawanan, kelmarin.

Jelasnya, pemain berpengalaman yang dimiliki KL Plus seperti Norhafiz Zamani Misbah dan Fadli Saari membuatkan pasukan itu sukar untuk disaingi, namun dia tetap berpuas hati dengan tahap permainan yang ditunjukkan anak buahnya.

''Saya begitu risau kerana kami hanya mempunyai rehat selama sehari selepas baru pulang dari Hong Kong menyertai Kejohanan Jemputan Belia Antarabangsa.

''Saya mengambil keputusan untuk mengeluarkan beberapa pemain utama dan memasukkan pemain simpanan kerana saya tidak mahu mereka cedera serta terlalu letih,'' ujarnya.

Menurut Rajagopal, walaupun pemainnya ada yang kepenatan tetapi dia gembira mereka bermain dengan bersungguh-sungguh dan bersemangat tinggi.

''Saya amat memuji persembahan mereka tetapi anda boleh melihat sendiri bagaimana mereka begitu letih pada 15 minit terakhir,'' katanya.

Ditanya mengenai namanya yang disebut-sebut untuk menggantikan jurulatih kebangsaan B. Sathianathan yang dipecat, Rajagopal berkata, dia tidak memikirkan tentang jawatan itu.

''Tumpuan saya adalah diberikan sepenuhnya kepada pasukan Harimau Muda tentang soal jawatan jurulatih pasukan kebangsaan biar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menentukan.

''Mungkin ada individu lain lagi yang saya rasa lebih layak tetapi jika mereka (FAM) ingin memilih saya, perbincangan perlu dilakukan terlebih dahulu kerana fokus saya kepada pemain remaja,'' katanya.

Selain Harimau Muda pasukan lain yang berjaya layak ke pusingan kedua Piala FA ialah Terengganu T-Team, UPB-MyTeam, Pulau Pinang, Perak, Sarawak, Perlis dan PKNS.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51h1u9HtQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan