Sabtu, 10 Mac 2018

Cengkaman Harimau Muda semakin teguh


ARKIB : 17/03/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

PEMAIN Shahzan Muda, Abdul Rahman Abdul Kadir (kiri) mengasak pemain SDM Kepala Batas, Zamir Musa dalam saingan bola sepak Liga Perdana di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi. Shahzan Muda menang 3-0. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH

KUALA LUMPUR - Harimau Muda terus mengekalkan cengkamannya di persada Liga Perdana apabila mencatat kemenangan keenam berturut-turut selepas menang tipis 1-0 ke atas Felda United di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur semalam.

Jaringan pemain tinggi lampai, Ahmad Shakir Mohd. Ali pada masa kecederaan babak pertama membolehkan pasukan pelawat membawa pulang tiga mata berharga dan mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.

Apa pun, aksi 30 minit separuh masa pertama antara kedua-dua pasukan begitu membosankan dengan tiada percubaan bahaya sehinggalah minit ke-40 apabila penyerang gantian Felda United, Mohd.Saufi Mohd. Ibrahim mendapat peluang untuk menjaringkan gol tetapi gagal selepas rembatannya agak tinggi tatkala pertahanan Harimau Muda sudah tewas.

Walaupun mengawal hampir keseluruhan permainan pada separuh masa pertama, Harimau Muda yang terlebih dahulu menjaringkan gol melalui penyerang tinggi lampai, Ahmad Shakir Mohd. Ali ketika babak pertama hampir tamat melalui rembatan deras di dalam petak penalti hasil hantaran Mohd. Shahrul Hafiz Mohd. Shafei.

Dalam pada itu, Johor bagaimanapun terus memberi tekanan kepada pendahulu liga apabila mengekori rapat di tangga kedua dengan dua mata di belakang selepas membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Wakil Terengganu, T-Team pula terlepas dua mata berharga selepas hanya seri 1-1 dengan Kuala Lumpur di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sekali gus ketinggalan tujuh mata kepada pendahulu.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka mencatat kemenangan pertamanya musim ini dengan menang besar 3-0 ke atas Sabah.

Shahzan Muda turut mengutip kemenangan sulung mereka, juga menerusi kemenangan besar 3-0 ke atas wakil Pulau Pinang, SDM Kepala Batas di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Ketiga-tiga gol tuan rumah diperoleh pada separuh masa kedua, bermula dengan jaringan pembukaan G. Mahatheran pada minit ke-59, diikuti gol Abdul Rahman Abd. Kadir (81) dan sepakan penalti R. Tharumarajah, minit ke-86.

Dalam perlawanan di Stadium MBPJ, PKNS Selangor pula menang tipis 1-0 ke atas Sarawak untuk naik satu anak tangga ke kedudukan keenam liga.

Terdahulu, Proton FC dihadiahkan kemenangan percuma 3-0 ke atas Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) selepas lawan mereka gagal menyelesaikan tunggakan insurans perlindungan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz59FxRqDGx
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan