Ahad, 18 Mac 2018

Harimau Muda hilang tonggak


ARKIB : 13/04/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
WALAUPUN cedera, kemungkinan khidmat penjaring terbanyak Harimau Muda, Ahmad Aminuddin Shaharuddin (kanan) bakal ditagih dalam perlawanan dengan PKNS malam ini.

KUALA LUMPUR - Dalam usaha untuk mengekalkan rentak kemenangan, Harimau Muda berdepan pula dengan masalah kecederaan menjelang perlawanan Liga Perdana malam ini menentang PKNS FC.

Lebih memeritkan mereka bakal beraksi tanpa dua tonggak utama Muhd. Zulhariz Mohd Nor dan penjaring terbanyak Harimau Muda, Ahmad Aminuddin Shaharuddin yang mengalami kecederaan.

Menurut jurulatih, K. Rajagopal, masalah kecederaan merupakan perkara biasa dalam mana-mana pasukan tetapi dia mengharapkan pemain yang bakal diturunkan hari ini mampu menggalas cabaran memberi tentang sengit kepada PKNS.

"Kita akan lihat dahulu bagaimana Amin (Aminuddin), mungkin dia mampu diturunkan atau tidak tetapi kami tetap akan beraksi dengan rentak yang sama seperti sebelum ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, bukan mudah untuk mencatatkan kemenangan walaupun mereka masih lagi mengekalkan rekod tanpa kalah selepas enam perlawanan.

"Saya mahu pemain terus berusaha dan setiap kali diturunkan mereka berada dalam keadaan bersedia serta mampu memberi cabaran sengit kepada lawan.

"Setiap perlawanan yang kami tempuh ada tahap kesukarannya yang sendiri bukan semuanya perlawanan mudah sama seperti yang akan kami hadapi esok (hari ini) bertemu PKNS," katanya.

Katanya, mana-mana pasukan di dalam liga berada pada motivasi terbaik tidak kira di mana kedudukan mereka.

Jika tidak menurunkan Aminuddin bekas pengendali Kelantan dan Selangor itu masih mempunyai seorang lagi pemain yang mempunyai perwatakan dan saiz yang sama iaitu Mohd. Fandi Othman.

Pemain yang memakai jersi nombor 25 itu juga mampu untuk beraksi di sayap kanan dan kiri serta memberi ancaman kepada PKNS hari ini jika tidak memberi tumpuan yang penuh kepada Fandi.

Ditanya mengenai kesibukannya memegang dua jawatan iaitu sebagai jurulatih Harimau Muda dan skuad bawah 23 negara, Rajagopal berkata, setakat ini dia masih belum merasai sebarang kesukaran.

"Masih ada banyak perkara yang perlu dibincangkan dan setakat ini saya ia masih belum membebankan saya.

"Ingin saya jelaskan di sini, skuad bawah 23 nanti bukan hampir kesemuanya daripada pasukan Harimau Muda kerana taraf beraksi di peringkat antarabangsa berbeza dengan Liga Perdana," katanya.

Rajagopal menambah, dia akan melihat juga pemain berpengalaman dan pemain yang menyerlah bagi pasukan masing-masing dalam Liga Malaysia untuk diserap dalam skuad bawah 23.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5A9j9pnOQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan