Khamis, 5 April 2018

Wan Zack akui PKNP liat


Rabu, 4 April 2018 | 7:32pm
 
PEMAIN FELDA United, Wan Zack Haikal Wan Nor (kanan) tidak mahu terlalu yakin apabila bertemu PKNP FC pada suku akhir pertama Piala FA, Sabtu ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Wan Zack akui PKNP liat
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Pemain tengah FELDA United, Wan Zack Haikal Wan Noor menganggap PKNP FC bukan pasukan yang mudah dijinakkan apabila kedua-dua pasukan bertemu pada suku akhir pertama Piala FA, Sabtu ini.

Wan Zack yang beraksi cemerlang ketika membantu Harimau Malaya membelasah Bhutan pada aksi persahabatan 1 April lalu, tidak mahu terlalu yakin bertemu kelab dari Perak itu.

"Apa yang perlu kami lakukan adalah kekal konsisten kerana PKNP bukannya pasukan yang dianggap kurang berpengalaman kerana mereka mempunyai pemain yang memiliki keyakinan tinggi.

"Bagi saya, kami perlu bekerja keras untuk memberi tekanan dan perlu fokus sepanjang 90 minit di tempat lawan untuk mencari bekalan.

"Soal kelebihan dilihat kepada FELDA United, ia tidak boleh dijadikan ukuran kerana PKNP beraksi dalam saingan Liga Super musim ini dan sudah pasti pemainnya semakin matang," katanya.

Wan Zack berkata, fokus utama The Fighters adalah mendapatkan jaringan pendahuluan sebagai motivasi kepada pasukan.

Katanya, biarpun PKNP tidak memiliki pemain berpengalaman, faktor persefahaman dan semangat juang yang dipersembahkan lawan perlu diberi perhatian.

"Kami mengharapkan kemenangan berpihak kepada kami dan tidak sesekali memberi ruang kepada tuan rumah membolosi gawang.

"Keputusan suku akhir pertama penting untuk menilai sendiri kemampuan menempah slot separuh akhir," katanya
SumberBERITA HARIAN ONLINE . Rabu, 4 April 2018 | 7:32pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan