Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KETUA pasukan Harimau Muda B, D. Saarvindran (kanan)
terlepas ke Selangor tetapi tetap berpeluang bermain dalam Piala Malaysia,
bulan depan dengan Felda United.
KUALA LUMPUR - Tercicirnya D. Saarvindran daripada
pasukan Selangor kerana kecederaan penjaga gol ketiga, membentangkan pula
peluang buat Felda United memancing khidmat ketua pasukan Harimau Muda B itu.
Khidmatnya kini diintai jurulatih Felda United, E.
Elavarasan menjelang kempen bola sepak Piala Malaysia ke-85 yang bermula 6
September selepas mereka diundi dengan Kelantan, Johor FC dan Sarawak dalam
Kumpulan C, Jumaat lalu.
Penolong pengurus pasukan Felda United, Faisal
Zakariah berkata, Saarvindran merupakan muka baru yang cuba dipinjam kelab ini
bagi Piala Malaysia musim ini selepas mereka berjaya mendapatkan K. Ravindran
dan S. Sivanesan (Harimau Muda A).
"Dia sudah menjawab surat penyata minat
mewakili Felda United dan kami akan cuba menyelesaikan sijil perpindahan
negerinya (SPN) dalam waktu terdekat," katanya kepada Utusan Malaysia,
semalam.
Khidmat ketiga-tiga pemain tengah skuad bawah 22
dan 19 tahun negara itu amat ditagih 'Si Peneroka' apatah lagi selepas
pengumuman persaraan Chow Chee Weng dan kecederaan ligamen depan Badrul Azam
Zamri yang bermain di posisi sama.
Selangor sebelum ini cuba meminjam khidmat
Saarvindran tetapi terpaksa membatalkannya bagi memberi laluan kepada penjaga
gol USM, G. Jeevanathan yang menggantikan Fairul Azwan Shahrullai kerana
kecederaan lutut dalam sesi latihan minggu lalu.
Felda United kata Faisal, turut akan mengadakan
tiga perlawanan persahabatan pra-musim Piala Malaysia yang bermula dengan
menentang Selangor di Shah Alam, Sabtu ini; Kuala Lumpur (16 Ogos) dan T-Team
di Bangi (20 Ogos).
Mengenai undian Kumpulan C, katanya: "Sudah
tentu Kelantan (juara bertahan Piala Malaysia dan juara Liga Super 2011)
menjadi pilihan utama tetapi kami tidak akan memberikan laluan mudah buat
mereka mahupun Johor FC serta Sarawak.
"Bagi Piala Malaysia, kami memilih Stadium
Petaling Jaya sebagai gelanggang sendiri kerana Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur
(turut digunakan Kuala Lumpur) menghadapi masalah rumput padang rosak.''
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5fb1pvK9K
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan