ARKIB : 06/02/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Kecil jangan
disangka anak, itu yang dibuktikan oleh barisan muda bimbingan K. Rajagopal
(gambar) selepas mara ke pusingan kedua Piala FA, menang agregat 2-1 ke atas KL
Plus, kelmarin.
Pasukan yang dikenali sebagai
Harimau Muda itu sebelum ini menang perlawanan pertama di Stadium Bukit Jalil
2-0 tetapi tewas 0-1 dalam perlawanan timbal balik di Stadium Bola Sepak Kuala
Lumpur.
Namun, ia sudah cukup untuk
menggembirakan jurulatih yang pernah beraksi untuk pasukan Selangor itu,
walaupun menganggap perlawanan kedua kelmarin cukup sukar untuk dihadapi
mereka.
''Saya sudah menjangkakan
perlawanan kedua pada hari ini (kelmarin) memang begitu sukar tambahan pula KL
Plus yang ketinggalan 2-0 cuba sedaya upaya untuk menyamakan kedudukan
agregat,'' katanya selepas perlawanan, kelmarin.
Jelasnya, pemain berpengalaman
yang dimiliki KL Plus seperti Norhafiz Zamani Misbah dan Fadli Saari membuatkan
pasukan itu sukar untuk disaingi, namun dia tetap berpuas hati dengan tahap
permainan yang ditunjukkan anak buahnya.
''Saya begitu risau kerana kami
hanya mempunyai rehat selama sehari selepas baru pulang dari Hong Kong
menyertai Kejohanan Jemputan Belia Antarabangsa.
''Saya mengambil keputusan
untuk mengeluarkan beberapa pemain utama dan memasukkan pemain simpanan kerana
saya tidak mahu mereka cedera serta terlalu letih,'' ujarnya.
Menurut Rajagopal, walaupun
pemainnya ada yang kepenatan tetapi dia gembira mereka bermain dengan
bersungguh-sungguh dan bersemangat tinggi.
''Saya amat memuji persembahan
mereka tetapi anda boleh melihat sendiri bagaimana mereka begitu letih pada 15
minit terakhir,'' katanya.
Ditanya mengenai namanya yang
disebut-sebut untuk menggantikan jurulatih kebangsaan B. Sathianathan yang
dipecat, Rajagopal berkata, dia tidak memikirkan tentang jawatan itu.
''Tumpuan saya adalah diberikan
sepenuhnya kepada pasukan Harimau Muda tentang soal jawatan jurulatih pasukan
kebangsaan biar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menentukan.
''Mungkin ada individu lain
lagi yang saya rasa lebih layak tetapi jika mereka (FAM) ingin memilih saya,
perbincangan perlu dilakukan terlebih dahulu kerana fokus saya kepada pemain
remaja,'' katanya.
Selain Harimau Muda pasukan
lain yang berjaya layak ke pusingan kedua Piala FA ialah Terengganu T-Team,
UPB-MyTeam, Pulau Pinang, Perak, Sarawak, Perlis dan PKNS.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51h1u9HtQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan