Ahad, 12 Jun 2016 | 5:09pm
Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.
KOTA BAHARU: Pemain Kelantan
Wan Zaharulnizam Wan Zakaria akur dengan keputusan Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) yang menggantungnya lima perlawanan dalam saingan Liga Super.
Wan Zaharulnizam menganggap
hukuman itu sebagai pengajaran buatnya untuk bijak mengawal emosi dan mengelak
provokasi yang cuba dicetuskan pihak lawan ketika beraksi di padang.
"Ini hukuman paling berat
pernah saya terima kerana digantung perlawanan sebegitu lama," katanya
ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Jawatankuasa Tatatertib
FAM menerusi laman webnya menjelaskan lima penggantungan perlawanan yang bakal
dihadapi Wan Zaharulnizam membabitkan aksi Liga Super antara Kelantan dan
Pahang pada 23 Julai di Kota Baharu serta aksi Johor Darul Ta'zim dan Kelantan
pada 26 Julai di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor.
Dua lagi perlawanan membabitkan
aksi Liga Super antara Kelantan dan FELDA United pada 3 Ogos dan pertemuan
Kelantan dan Terengganu FC II, tiga hari kemudian dengan kedua-dua perlawanan
berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Baharu.
FAM memaklumkan bahawa Wan
Zaharulnizam bakal menjalani penggantungan satu perlawanan secara automatik
membabitkan aksi Liga Super antara Terengganu FA dan Kelantan di Stadium Sultan
Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu 15 Julai ini.
Penggantungan itu dilakukan
selepas Wan Zaharulnizam dididapati bersalah melakukan kekasaran terhadap
pemain Selangor Muhamad Nazmi Faiz Mansor pada aksi Liga Super di Stadium
Sultan Muhammad ke-IV di sini pada 21 Mei Lepas.
Dalam pada itu, pemain berusia
24 tahun itu berkata beliau memohon maaf kepada semua pihak terutama pasukan
Kelantan di atas kesilapan yang dilakukannya.
Beliau menyerahkan kepada
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berhubung rayuan kepada FAM bagi
meringankan hukuman. – BERNAMA
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad,
12 Jun 2016 | 5:09pm