ARKIB : 11/03/2008
PEMAIN KL PLUS, Tercio Nunes
Machado (kanan) mengasak pemain Proton FC, Aguama Stanley Ogochukwu pada
persaingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam. KL
PLUS menang 3-0. Gambar ZULAZHAR SHEBLEE.
KUALA LUMPUR KL PLUS
mengukuhkan kedudukan pendahulu bola sepak Liga Perdana selepas mencatat
kemenangan ke-12 musim ini dengan menundukkan Proton FC, 3-0 di Stadium Majlis
Perbandaran Selayang, semalam.
Tiga jaringan pada separuh masa
kedua, termasuk dua gol dalam tempoh 20 minit terakhir membolehkan KL PLUS
menerajui liga dengan empat mata.
Penyerang Argentina, Adrian
Dario Trinidad membuka jaringan tuan rumah pada minit ke-50, sebelum Tracio
Nunez Marchado dan Mohd. Lot Abu Hassan menambah gol pada minit ke-70 dan 74.
Johor Pasir Gudang (Johor)
terlepas peluang untuk merapatkan jurang mata selepas kecundang 3-1 kepada
Kelantan di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota Baru.
Kekalahan Johor itu membolehkan
wakil Kedah, Kuala Muda Naza merampas kedudukan kedua liga selepas menumpaskan
Kuala Lumpur 3-2 di Stadium UUM, Sintok.
Mohd. Badri Radzi menjaringkan
dua gol pembukaan Kelantan pada minit ke-33 dan 50 sebelum namun pelawat
merapatkan jurang 2-1 menerusi Tumba Laurent pada minit 55.
Gol Mohd. Ramzul Zahini, 11
minit sebelum tamat saingan memastikan Kelantan menang 3-1.
Di Sintok, Kuala Muda Naza
terlebih dulu dikejutkan dengan gol pembukaan Kuala Lumpur yang dijaringkan
Impraim Godfred Attah pada minit ke-23 sebelum bangkit dengan tiga gol menerusi
Jose Antonio (41), Azralan Azmi (58) dan Liew Kit Kong, minit ke-75.
Kuala Lumpur sekali lagi
mencemaskan tuan rumah apabila merapatkan kedudukan 3-2 menerusi Attah pada
minit ke-88, namun gol kedua pemain Ghana itu sudah terlewat untuk mengejar
lawan.
Sementara itu di Stadium Hang
Tuah, Melaka mensia-siakan kelebihan mendahului 2-0 apabila tumpas 2-3 kepada
Sabah.
Jaringan hatrik penyerang
Brazil, Andre Scotti pada minit ke-31, 39 dan 69 melenyapkan dua gol tuan rumah
yang sebelum itu dijaringkan oleh Kofi Estiba pada minit ketujuh dan 23.
Perlawanan di Melaka itu juga
turut menyaksikan insiden penonton cuba menyerang pengadil ekoran tidak berpuas
hati dengan mutu pengadilan.
Di Stadium MBPJ, Kelana Jaya,
dua jaringan Fathurazi Rozi membantu Selangor PKNS menundukkan Tentera 3-2.
Tentera bagaimanapun terlebih
dulu membuka jaringan pada minit keenam menerusi Mohd. Arshad Ayup, sebelum
PKNS bangkit dengan dua gol Fathurazi pada minit ke-16 dan 50.
Tengku Adam Tengku Rosly
melebarkan kedudukan kepada 3-1 apabila menambah gol ketiga PKNS di minit
ke-52, namun James Moorey menjaringkan gol saguhati Tentera di minit ke-88.
Dalam satu lagi perlawanan, dua
jaringan Ahmad Fakri Saarani, 12 minit sebelum tamat permainan membantu skuad
bawah 19 tahun kebangsaan, Harimau Muda menundukkan Felda United 3-1 di Stadium
Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Harimau Muda sebelum itu membuka
jaringan menerusi Tamil Arasu pada minit keenam, namun terikat 1-1 selepas
tamat babak pertama hasil gol penyamaan Khairul Izwan di minit ke-19.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4yn81rtyO
© Utusan Melayu (M) Bhd