SUKAN»Bola
Khamis, 5 April 2018 | 1:54pm
FADHLI Shas kekal selaku tonggak
utama benteng JDT. - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
Fadhli tekad tebus kehampaan
musim lalu
Oleh Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my
JOHOR BAHRU: Aksi konsisten
sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini membolehkan Fadhli Shas
kekal selaku tonggak utama benteng Johor Darul Ta'zim (JDT) dan pertembungan
menentang Pahang pada suku akhir pertama Piala FA bagaikan ujian besar buat
pemain itu.
Malah Fadhli menyifatkan
pertembungan menentang skuad kendalian Dollah Salleh ibarat pentas `final'
walaupun ia aksi suku akhir dan keazaman mengekalkan corak permainan konsisten
begitu menebal seandai diturunkan pada aksi di Stadium Darul Makmur, malam
esok.
Bekas pemain Harimau Muda itu
tidak menolak betapa kekuatan fizikal dan mental memainkan peranan penting buat
dia dan rakan sepasukan untuk berdepan barisan pemain skuad Tok Gajah yang
pasti menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk mencatat
kemenangan.
"Aksi menentang Pahang, sama
seperti skrip musim lalu. Namun ketika itu kita tewas dengan agregat 3-4 dan
pastinya saya dan rakan sepasukan berazam tidak mahu kekecewaan sama berulang
malah persiapan kami untuk berdepan mereka tampak lebih mantap.
"Kami belum berjumpa Pahang
dalam saingan Liga Super dan aksi suku akhir Piala FA bagaikan ujian buat kami
bukan sahaja menebus kekalahan musim lalu malah ia dianggap pertembungan buku
dengan ruas, kami harus tenang dan tidak boleh tertekan pada perlawanan itu
nanti.
"Kita beraksi di tempat
lawan, jadi kekuatan mental memainkan peranan penting pada perlawanan itu dan
saya sendiri sebagai pemain tidak kira sama ada diturunkan atau sebaliknya
harus menyiapkan diri dan sentiasa positif untuk beraksi nanti," katanya.
Fadlhi menegaskan tidak kira ia
perlawanan suku akhir Piala FA atau saingan Liga Super dia harus memberi
sepenuh tumpuan dalam perlawanan kerana jika hilang fokus walaupun sesaat, ia
pasti mengundang bahaya tatkala pasukan lawan pantas mengambil kesempatan untuk
merobek gawang skuad Harimau Selatan.
Malah dia menganggap barisan
serangan skuad Tok Gajah masih berbahaya walaupun tanpa kelibat Francis Forkey
Doe yang cedera kerana pasukan itu memiliki Mohamadou Sumareh dan Norsharul
Idlan Talaha yang mampu melenyapkan impian JDT memburu kemenangan.
Katanya, bukan sekadar 100
peratus bersedia pada perlawanan itu tetapi prestasi harus berada dalam keadaan
120 peratus untuk beraksi dengan taktikal dibentuk jurulatih, Raul Longhi
sepanjang latihan ketika saingan Liga M berehat.
"Kita harus serap tekanan
kerana aksi pertama kita bermain di tempat lawan, sepanjang 90 minit perlawanan
kita tidak boleh leka malah perlu lihat segala aspek kekuatan Pahang, kita ada
11 pemain dan mereka juga 11 pemain.
"Apa yang kami lakukan
adalah untuk fokus memburu keputusan positif dan mengelak gawang dibolosi
kerana dengan kemenangan ia pasti melonjak keyakinan untuk mengharungi aksi
suku akhir kedua di Larkin, kelak," kata Fadhli.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan