Rabu, 4 April 2018 | 7:32pm
PEMAIN FELDA United, Wan Zack
Haikal Wan Nor (kanan) tidak mahu terlalu yakin apabila bertemu PKNP FC pada
suku akhir pertama Piala FA, Sabtu ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Wan Zack akui PKNP liat
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Pemain tengah FELDA
United, Wan Zack Haikal Wan Noor menganggap PKNP FC bukan pasukan yang mudah
dijinakkan apabila kedua-dua pasukan bertemu pada suku akhir pertama Piala FA,
Sabtu ini.
Wan Zack yang beraksi cemerlang
ketika membantu Harimau Malaya membelasah Bhutan pada aksi persahabatan 1 April
lalu, tidak mahu terlalu yakin bertemu kelab dari Perak itu.
"Apa yang perlu kami lakukan
adalah kekal konsisten kerana PKNP bukannya pasukan yang dianggap kurang
berpengalaman kerana mereka mempunyai pemain yang memiliki keyakinan tinggi.
"Bagi saya, kami perlu
bekerja keras untuk memberi tekanan dan perlu fokus sepanjang 90 minit di
tempat lawan untuk mencari bekalan.
"Soal kelebihan dilihat
kepada FELDA United, ia tidak boleh dijadikan ukuran kerana PKNP beraksi dalam
saingan Liga Super musim ini dan sudah pasti pemainnya semakin matang,"
katanya.
Wan Zack berkata, fokus utama The
Fighters adalah mendapatkan jaringan pendahuluan sebagai motivasi kepada
pasukan.
Katanya, biarpun PKNP tidak memiliki
pemain berpengalaman, faktor persefahaman dan semangat juang yang
dipersembahkan lawan perlu diberi perhatian.
"Kami mengharapkan
kemenangan berpihak kepada kami dan tidak sesekali memberi ruang kepada tuan
rumah membolosi gawang.
"Keputusan suku akhir
pertama penting untuk menilai sendiri kemampuan menempah slot separuh
akhir," katanya
SumberBERITA HARIAN ONLINE . Rabu,
4 April 2018 | 7:32pm