Oleh ABDUL
HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR -
Peluang keemasan menunjukkan taring dalam Liga Divisyen Satu Bawah 21 Slovakia,
ibarat 'sirih pulang ke gagang' buat penjaga gol utama Harimau Muda A, Muhammad
Zamir Selamat selepas hampir sebulan berada di sana, pada September tahun lalu.
Ini turut
melenyapkan teka-teki yang bersarang di kepalanya dan rakan sepasukan, selepas
dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) daripada Liga Super musim 2010, selain ditolak pula untuk
menyertai Liga Singapura.
"Nasib
kami yang terumbang-ambing, semangat yang tiba-tiba patah dan kesamaran dengan
hala tuju pasukan sejak sebulan lalu, sudah lenyap dengan pengumuman FAM
kelmarin untuk membawa kami beraksi dalam Liga Slovakia," kata anak jati
Kuala Lumpur berusia 21 tahun ini.
"Gembira
juga dapat kembali ke negara itu untuk menimba pendedahan dan pengalaman liga
gaya permainan Eropah Timur, kerana sebelum ini kami pernah bermain siri
persahabatan dengan kelab remaja mereka, Hungary dan Austria," katanya
ketika ditemui di di sini, kelmarin.
Muhammad Zamir
yang juga bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria di sini, sebelum
bertukar ke Sekolah Sukan Bukit Jalil, mengulas berita gembira FAM buat skuad
bawah 21 tahun negara bimbingan Azraai Khor Abdullah, yang bakal mengasah
taring mereka di negara itu mulai 27 Februari hingga 29 Mei ini.
"Ketika
siri persahabatan tahun lalu, kami menginap dan berpangkalan di Vion, Slovakia
dan menggunakan bas untuk ke pelbagai gelanggang bagi siri persahabatan, jadi
rasanya tiada masalah menyesuaikan diri bagi kebanyakan kami termasuk dari segi
makanan atau cuaca," katanya.
Tonggak skuad
juara Liga Perdana musim 2009 di bawah K. Rajagobal sebelum beralih kepada Ong
Kim Swee ketika itu, mengakui mendapat sokongan padu keluarganya dan berazam
memanfaatkan pengalaman Liga Slovakia, sekali gus mewakili negara pada Sukan
SEA Indonesia 2011.
"Memandangkan
semua penjaga gol skuad juara Sukan SEA Laos XXV di lalu sudah melebihi 23
tahun, saya rasa peluang bermain Sukan SEA 2011 bertambah cerah jika dapat
kekal dalam Harimau Muda A," katanya yang meminati R. Arumugam, Azmin
Azram Aziz dan Peter Schmeichel.
"Namun
jika ada rezeki, saya turut mengidam dan berazam untuk lebih cepat mewakili
skuad bawah 23 tahun ke Sukan Asia Guangzhou 2010 (November ini) ekoran
ketiadaan Sharbinee Allawee Ramli dan Farizal Marlias," katanya.
Muhammad Zamir
yang mendapat tajaan peralatan Lotto sejak 4 Disember lalu, kini bersaing
dengan dua lagi penjaga gol Harimau Muda A, K. Sasikumar dan Syamim Othman
selain mendapat bimbingan khas jurulatih penjaga gol pasukan, P. Mohana
Sundram.
Selain Liga
Slovakia, skuad ini bakal beraksi dalam Piala Obama di Michigan, Amerika
Syarikat pada Mei ini dan Piala Newspaper di Vietnam (Oktober) selain siri
lawatan dan persahabatan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, India dan Qatar.
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5Zq10bsSn
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan