ARKIB : 16/08/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
TIMBALAN Presiden FAM, Datuk
Redzuan Sheikh Ahmad (kiri) menyampaikan piala kemenangan kepada kapten pasukan
Harimau Muda, K. Gurusamy selepas skuad tersebut muncul Liga Perdana di Wisma
FAM, semalam.
PETALING JAYA - Selangor
berpeluang mencipta sejarah menjadi pasukan pertama merangkul empat gelaran
semusim apabila menerima undian mudah dalam saingan Piala Malaysia yang bermula
26 September ini.
Selepas menjulang Piala
Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super, Selangor diramal mudah untuk mara ke suku
akhir Piala Malaysia apabila diundi dalam Kumpulan D bersama KM Naza, Polis
Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah.
Undian yang diadakan di Wisma
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam turut menyaksikan Kumpulan A
membariskan naib juara Liga Super, Perlis bersama-sama pasukan kelab, KL Plus,
Pahang dan Melaka.
Kumpulan yang dianggap sedikit
sukar ialah dari Kumpulan B, apabila empat pasukan negeri termasuk pasukan
pilihan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Sarawak mengisi slot tersebut.
Kumpulan C pula dianggap terbuka
dengan mana-mana pasukan mempunyai peluang seimbang untuk ke suku akhir, Johor
FC mengetuai kumpulan diikuti Perak, UPB-MyTeam dan Kuala Lumpur.
Kumpulan E menyaksikan Kedah dan
Kelantan akan bertemu sesama sendiri, manakala Pulau Pinang dan Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) mengisi dua lagi slot untuk kumpulan tersebut.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa
Pertanding Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Che Mat Jusoh saingan peringkat kumpulan
akan bermula pada 26 September ini.
Katanya, juara setiap kumpulan
akan mara ke peringkat suku akhir dan diiringi tiga pasukan yang menduduki
tangga kedua terbaik dari lima kumpulan tersebut.
"Saingan suku akhir pertama
dijangka akan bermula pada 20 Oktober ini, diikuti dengan suku akhir kedua
empat hari kemudian," katanya dalam sidang akhbar semalam.
Perlawanan akhir Piala Malaysia
akan berlangsung pada 21 November bertempat di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Turut diadakan pada majlis undian
tersebut ialah penyerahan pemenang kasut emas Liga Super kepada penyerang
Perlis Nizaruddin Yusof yang menjaringkan 18 gol, manakala Harris Safwan Kamal
menerima kasut emas Liga Perdana apabila menyumbangkan 24 gol utuk pasukan
T-Team.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YKe0G73o
© Utusan Melayu (M) Bhd