ARKIB : 23/07/2009
KUALA LUMPUR - Kejuaraan sudah
dalam genggaman, malah Harimau Muda bakal bergelar juara Liga Perdana tanpa
perlu beraksi jika pencabar terdekatnya T-Team tunduk kepada Sabah pada
perlawanan Rabu ini.
Jika T-Team kalah dalam
perlawanan itu, Harimau Muda yang kini mengumpul 59 mata akan bergelar juara
kerana dengan baki satu perlawanan, T-Team, 53 mata tidak lagi mampu memintas
skuad bimbingan Ong Kim Swee itu.
Namun, bukan itu yang difikirkan
oleh Kim Swee, sebaliknya pengganti K. Rajagobal itu resah memikirkan tentangan
getir yang bakal dihadapi skuadnya apabila berdepan Kuala Lumpur pada
perlawanan terakhir 2 Ogos ini.
Tanpa mengambil kita keputusan
perlawanan di antara T-Team dan Sabah, Harimau Muda akan bergelar juara sekali
pun seri dengan Kuala Lumpur.
Dalam hal ini, Kim Swee berkata,
dia tidak memandang ringan perlawanan dengan Kuala Lumpur meskipun hakikatnya
hanya memerlukan satu mata daripada perlawanan itu untuk mereka bergelar juara.
''Saya sifatkan perlawanan
terakhir kami menentang Kuala Lumpur ibarat perlawanan akhir. Ia merupakan
perlawanan penentu kejuaraan kami.
''Melihatkan situasi semasa Kuala
Lumpur, mereka bersemangat tinggi kerana sedang bersaing dengan Johor untuk
perebutan tempat ketiga liga.
''Ini bermakna Kuala Lumpur akan
menyusahkan kami nanti. Jadi saya tidak mengambil mudah perlawanan dengan Kuala
Lumpur,'' katanya ketika dihubungi, semalam.
Untuk memastikan kejuaraan,
katanya, ia terpulang kepada para pemain didorong dengan semangat untuk
mencipta sejarah sebagai pasukan muda yang menjulang trofi Liga Perdana.
''Saya berharap pemain mengambil
inspirasi seperti mana skuad muda kebangsaan kita yang berjaya memberi
tentangan kepada Manchester United,
''Saya mempunyai persediaan
selama 10 hari sebelum menentang Kuala Lumpur dan tempoh yang panjang ini akan
saya gunakan untuk memantapkan persediaan pasukan,'' katanya.
Harimau Muda sepatutnya bergelar
juara jika menang ke atas Sarawak pada perlawanan di Kuching, Isnin lalu.
Namun, perlawanan penuh tegang
yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuching menyebabkan Harimau Muda seri 1-1.
Mengulas perlawanan dengan
Sarawak, Kim Swee mengakui perlawanan agak tegang kerana Sarawak terdesak untuk
mengutip mata bagi mengelak tercicir ke Liga FAM.
''Selain perlawanan tegang,
ketiadaan lapan pemain tonggak kerana menyertai skuad kebangsaan, cedera dan
digantung menyebabkan rentak kami terjejas.
''Namun, para pemain utama
termasuk yang mewakili negara ketika menentang United tempoh hari iaitu Ahmad
Shakir Ali, G. Gurusamy dan Mohd. Muslim Ahmad akan beraksi untuk perlawanan
terakhir nanti,'' katanya.
Sementara itu, T-Team masih
mengharapkan keajaiban untuk mereka mengubah sisa peluang kepada kemenangan
yang akan membawa kejayaan.
Dengan baki dua perlawanan yang
perlu dimenangi jika mahu bergelar juara sambil mengharapkan Harimau Muda
tersungkur ketika menentang Kuala Lumpur, jurulatih T-Team, Che Ku Marzuki
Mohd. Nor masih enggan mengalah.
''Peluang kami tetap ada. Saya
ramal Harimau Muda akan diberi tentangan sengit oleh Kuala Lumpur pada
perlawanan terakhir mereka.
''Tumpuan kami sekarang ialah
untuk memenangi dua perlawanan terakhir menentang Sabah dan Shahzan Muda,''
katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5Y3dEL6rX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan