Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
TURUN selaku pasukan bukan
pilihan, jelas sekali tidak memberi tekanan kepada barisan Harimau Muda menjelang
pertemuan dengan Johor pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos
malam ini.
Sedar akan reputasi mereka
selaku pendatang baru, skuad bimbingan K. Rajagobal itu hanya mahu ‘berseronok’
seperti aksi perlawanan sebelumnya.
Apa pun keputusan malam ini,
Rajagobal tidak ambil peduli, kerana baginya, pemain mudanya menunjukkan
peningkatan dalam setiap perlawanan.
“Ingin saya jelaskan sekali
lagi bahawa penyertaan kami dalam Liga Malaysia adalah untuk memberi pendedahan
dan pengalaman kepada pemain muda ini dengan menentang pasukan berpengalaman
yang mempunyai pemain import,” kata Rajagobal kepada KOSMO! semalam.
“Kami akan turun beraksi
seperti biasa, macam perlawanan yang lepas dan saya tidak meletakkan sebarang
sasaran kepada mereka kerana tidak mahu memberi tekanan kepada pemain.
“Apa jua keputusan malam esok
(hari ini), ia tidak begitu penting kerana apa yang saya mahu mereka terus
belajar dan mengutip pengalaman daripada pihak lawan.
“Pengalaman ini akan menjadi
pendedahan awal buat pemain bawah 19 tahun ini untuk terus memantapkan
persembahan mereka pada masa depan. Itulah matlamat asal kami.”
PEMAIN skuad bawah 19
kebangsaan akan beraksi tanpa tekanan pada pertemuan dengan Johor pada aksi
Liga Perdana malam ini.
Biarpun tanpa sebarang sasaran
pada penampilan sulung mereka dalam Liga Perdana, skuad bawah 19 tahun itu
sudahpun membuktikan bahawa mereka bukan ‘budak mentah’ apabila mencipta dua
kemenangan dalam tiga perlawanan.
“Setakat ini, saya puas hati
dengan peningkatan yang dipamerkan pemain yang rata-ratanya berusia 17 hingga
19 tahun ini.
“Menang dua perlawanan tidak
memberi makna jika pemain gagal mempamerkan peningkatan. Saya mahu mereka terus
memperbaiki mutu persembahan,” tambah Rajagobal lagi.
Rajagobal juga menambah,
sebagai pasukan bukan pilihan, dia mahu pemainnya menganggap setiap pasukan
lawan sebagai pasukan pilihan.
“Setiap lawan kami adalah
pasukan pilihan, jadi kami tidak akan ambil mudah pada setiap pertemuan itu.
“Walaupun kami menang 2-1 ke
atas Kuala Lumpur tempoh hari, saya tidak mahu mendabik dada kerana Johor
adalah pasukan yang hebat serta menduduki tangga teratas Liga Perdana ketika
ini.
“Saya tidak akan membuat banyak
perubahan dalam barisan pemain, mungkin satu atau dua pemain sahaja kerana saya
tidak mahu menjejaskan rentak mereka. Kita tunggu dan lihat saja esok (hari
ini),” katanya lagi
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4w7QoU4Ae
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan