ARKIB : 11/02/2009
KUALA LUMPUR - Sekiranya aksi
menentang Proton dalam Liga Perdana umpama satu ujian ketahanan pemain terhadap
tekanan, jelaslah Harimau Muda berjaya mengharunginya dengan cemerlang di
Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.
Tertekan tanpa tonggak yang tercedera
sebelum dan ketika perlawanan selain cubaan kebangkitan lawan, masih dapat
diatasi oleh skuad bola sepak bawah 20 tahun negara ini, malah mampu
mengejutkan kelab dari Selangor itu, 4-2.
Jurulatih Harimau Muda, K.
Rajagopal mengakui, satu ketika dia bagaikan kehilangan idea apabila ada pemain
utamanya yang terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan sehingga barisan belakang
didapati mulai longgar.
Apabila Proton menyamakan 1-1
(daripada gol penalti Ahmad Aminuddin Shaharuddin) dan mengasak kami bertubi-tubi
dalam keadaan pemain kami yang tercedera dan benteng pula longgar, saya rasa
kami seperti sudah tidak boleh berbuat apa-apa.
Keadaan semakin mendesak
setelah gol kedua kami (Shahrul Hafiz Shafei) pula disamakan lawan pada babak
kedua, katanya yang terpaksa menggesa anak buahnya menukar corak permainan
supaya lebih pantas untuk mengekang seterusnya mengatasi skuad bimbingan Yunus
Aliff itu.
Dorongan Rajagopal kepada
pemain remaja negara ini dari bilik persalinan pada waktu rehat itu,
menghasilkan kejayaan mendadak apabila mereka beroleh dua gol lagi untuk
mengesahkan tiga mata sekali gus menerajui Liga Perdana selepas tiga
perlawanan.
Buktinya, sentuhan penyudah
Ahmad Aminuddin menjadi lagi selain sokongan gol terakhir Fandi Othman
masing-masing pada minit ke-78 dan 90 di samping pergerakan lancar pasukan di
padang hasil hantaran bola yang kemas lagi tepat secara sepasukan.
Saya sentiasa mengingatkan
pasukan bahawa inilah masanya untuk membuktikan bahawa mereka mampu bermain
dalam apa keadaan tertekan sekalipun termasuk ketika kecederaan atau tentangan
hebat lawan, katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51ixFgaC6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan