ARKIB : 10/02/2009
PEMAIN Proton FC, Mohd. Zamri
Hassan (kiri) diasak pemain Harimau Muda, Muhd. Zulhariz ketika perlawanan
Liga Perdana di Stadium
Nasional Bukit Jalil malam tadi.
- UTUSAN/ROY AZIS ABD. AZIZ
KUALA LUMPUR - Skuad bawah 20
negara, Harimau Muda menyambung rentak kemenangan dalam persaingan bola sepak
Liga Perdana 2009 selepas menumpaskan Proton 4-2 di Stadium Nasional Bukit
Jalil semalam.
Dua jaringan Ahmad Aminuddin
Shaharuddin, selain gol Shahrul Hafiz dan Fandi Othman membawa skuad bimbingan
K. Rajagopal itu mencatat kemenangan ketiga berturut-turut untuk kekal sebagai
pendahulu.
Harimau Muda membuka tirai gol
pada minit ke-18 menerusi sepakan penalti yang diambil Aminuddin, namun
rembatan kencang Azralan Azmi pada minit ke-40 berjaya menyamakan kedudukan
buat Proton.
Begitupun beberapa minit
sebelum tamat babak pertama, tuan rumah kembali di depan menerusi Shahrul
Hafiz, yang menggelecek penjaga gol Proton, Iqbal Suhini.
Sejurus babak kedua bermula, Proton
yang dibimbing oleh Yunus Alif sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan hasil
tandukan Zamri Hassan pada minit ke-53.
Namun, semangat juang skuad
muda negara yang tinggi menyaksikan tiga mata berjaya digenggam selepas
menambah dua lagi gol menerusi Ahmad Aminuddin dan Fandi Othman
Sementara itu, Johor melonjak
ke tangga kedua liga selepas membelasah Melaka 4-0 di Stadium Tan Sri Hassan
Yunos, Johor Bahru.
Azrine Affendi Sa'buddin
menyumbat dua gol tuan rumah pada m-46 dan 84, diikuti jaringan Mohd. Khairul
Ismail pada m-68 dan Mohd. Sairozi Daud, m-75.
T-Team pula terus menjadi
pencabar utama liga selepas menang 4-1 ke atas PKNS Selangor di Stadium
Petaling Jaya untuk berada di tangga ketiga.
Walaupun terlebih dulu membuka
jaringan menerusi Fatrulrazi Rozi pada m-13, namun dua jaringan Hairuddin Omar
(m-22, 70), Haris Safuan (m-45) dan Rosdi Talib (m-60) memastikan T. Team
pulang bersama tiga mata.
Sabah menghuni tangga keempat
selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas MBJB Johor di Stadium Likas, Kota
Kinabalu.
Tuan rumah memperoleh dua gol
dalam tempoh empat minit menerusi sepakan penalti Zulamri Muhammad pada m-64,
diikuti tandukan Alto Jinus, m-68.
Di Stadium Negeri Petra Jaya,
Kuching, Sarawak tunduk 1-2 kepada Felda United.
Felda akhirnya mencatat
kemenangan pertama musim ini hasil jaringan Khairul Izwan Khalid dan sepakan
penalti Nazrulerwan Makmor.
Dalam perlawanan di Stadium
Bola Sepak Kuala Lumpur, dua jaringan M. Badrul Hisyam Azmi pada lewat
permainan membantu Kuala Lumpur bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mengikat
Shahzan Muda 2-2.
Shahzan membuka jaringan pada
m-50 menerusi R. Tharumarajah dan menambah gol di m-69 menerusi Rajesh Perumal,
tetapi Badrul mengelak tuan rumah daripada mengalami kekalahan dengan gol
penyamaan m-74 dan 87.
Perlawanan SDM Kuala Batas dan
Angkatan Tentera Malaysia di Stadium Negeri, Batu Kawan berakhir seri tanpa
jaringan
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51hsvvGmK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan