ARKIB : 28/12/2008
Oleh FERZALFIE FAUZI
KUALA LUMPUR - Usah gentar,
kata semangat yang diluahkan jurulatih Harimau Muda, K.Rajagopal kepada
anak-anak buahnya menjelang Liga Perdana yang akan bermula pada 9 Januari ini.
Menurut bekas jurulatih
Selangor dan Kelantan, barisan pemainnya perlu mengubah persepsi takut apabila
berhadapan dengan pasukan dalam Liga Perdana yang mempunyai pemain
berpengalaman.
''Apabila mereka membuang
perasaan takut saya yakin ia akan memberi sedikit kesukaran buat pasukan lain
apabila bertemu dengan kami nanti,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia
semalam.
Jelasnya, walaupun Harimau Muda
adalah sebuah pasukan pembangunan untuk masa akan datang tetapi mereka tidak
rela menjadi pasukan belasahan dengan menghuni tangga tercorot liga.
''Saya mahu pemain yang beraksi
untuk musim kedua kali ini cepat belajar dan sentiasa berfikiran positif setiap
kali turun padang.
''Apa yang penting saya mahu
setiap pemain menunjukkan peningkatan baik dari segi berpasukan mahupun
individu,'' katanya.
Kata Rajagopal, walaupun mereka
tidak meletakkan sebarang sasaran tetapi dia tidak mahu pemainnya cuba untuk
memberikan persembahan terbaik setiap perlawanan.
''Saya mahu melihat mereka
berada dalam keadaan bersedia walaupun kami akan turun beraksi tanpa menyerang
utama musim lalu Ahmad Fakri Saarani.
''Saya yakin pemain yang ada
mampu membentuk kombinasi mantap walaupun mereka tidak dikenali kerana usia
masih muda,'' kata Rajagopal dalam nada rendah diri.
Tambahnya, pemain muda yang
bersama pasukan Harimau Muda mampu pergi lebih jauh dan memerlukan sedikit masa
untuk meningkat naik.
Hari ini Harimau Muda akan
menentang pasukan Kuala Lumpur dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium
Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51FON8VVs
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan