ARKIB : 24/02/2009
Oleh RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.commy
KUALA LUMPUR - Kemenangan 2-1
pada perlawanan pertama pusingan kedua Piala FA Sabtu lepas, berserta status
selaku pasukan Liga Super yang dimiliki Terengganu, tidak langsung mendatangkan
tekanan buat skuad Harimau Muda menjelang perlawanan kedua malam ini.
Jurulatih Harimau Muda, K.
Rajagopal sebaliknya memulangkan tekanan itu kepada skuad Penyu kerana
menganggap pasukan itu perlu lebih berhati-hati untuk mempertahankan kelebihan
satu gol meskipun menentang skuad muda yang rata-ratanya cuma berusia 18 ke 19
tahun.
"Pemain skuad kami masih
berada di peringkat pembelajaran. Setiap perlawanan yang dilalui dianggap
sebagai medan untuk menambah pengalaman. Maka, tiada apa yang perlu
dikhuatirkan mengenai keputusan setiap perlawanan.
"Bagi saya, Terengganu
yang sepatutnya menghadapi tekanan kerana pasukan itu bermain di Liga Super.
Tambahan pula kami cuma memerlukan kemenangan 1-0 untuk layak berdasarkan
jaringan di tempat lawan. Sudah tentu ia menjadi sesuatu yang meresahkan
Terengganu," katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam perlawanan pertama,
pusingan kedua Piala FA kelmarin, Terengganu sekadar memiliki kelebihan satu
gol ke atas skuad bawah 20 tahun negara apabila menang 2-1 di Stadium Sultan
Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
Hari ini, kedua-dua pasukan itu
akan sekali lagi berentap di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk melayakkan diri
di kalangan lapan pasukan terbaik bagi mengejar kejuaraan Piala FA.
Mengenai kecederaan yang
menimpa tiga pemain utama skuad Harimau Muda iaitu Abdul Shukor Jusoh, S.
Sivanesan (gambar) dan Mohd. Affize Faisal, Rajagopal tidak terlalu runsing
memikirkannya.
"Saya mempunyai 29 orang
pemain untuk diketengahkan. Meskipun mereka yang tercedera merupakan antara
pemain utama, namun saya turut memiliki keyakinan terhadap kemampuan pemain
gantian yang lain.
"Tiada apa yang perlu
dirisaukan. Saya akan menilai dengan teliti mengenai siapa yang harus
diturunkan dalam perlawanan esok (hari ini)," katanya.
Ditanya adakah spekulasi yang
mengaitkan dirinya sebagai jurulatih pasukan kebangsaan turut mengganggu
tumpuannya mempersiapkan Harimau Muda, Rajagopal enggan mengulas.
"Sesiapa pun boleh membuat
spekulasi tetapi tumpuan saya ketika ini hanya kepada Harimau Muda. Setakat ini
saya cuma menumpukan kepada satu demi satu perlawanan yang bakal dilalui skuad
muda negara ini," ujarnya
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz520UeD7B2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan