ARKIB : 02/06/2010
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
SKUAD Harimau Muda tiba di KLIA,
Sepang semalam selepas lebih tiga bulan berguru di Slovakia. - utusan/ HANAFI
KHAMIS
SEPANG - Setelah lebih tiga bulan
beraksi di luar negara, Harimau Muda A kembali ke tanah air semalam, dengan
membawa pulang pengalaman dan mempamer peningkatan sepanjang beraksi dalam Liga
Bawah 21 Divisyen 1 Slovakia.
Setiausaha Agung Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azuddin Ahmad berkata, berdasarkan prestasi
yang dipamerkan skuad Mohd. Azraai Khor Abdullah, jelas telah mencapai Petunjuk
Prestasi Utama (KPI).
''Bagaimanapun kita masih
menunggu laporan penuh daripada Azraai sendiri. Dalam masa yang sama, satu
panel bebas juga akan membuat penilaian mengenai tahap peningkatan pemain
Harimau Muda A," katanya ketika menyambut kepulangan skuad tersebut di di
Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA), semalam.
Jelasnya, Harimau Muda A telah
manfaatkan sepenuhnya tempoh tiga bulan di Slovakia.
Untuk itu, katanya pemain perlu
diuji di arena tempatan pula, bagi melihat tahap kemajuan yang dikatakan baik.
''Pemain diberi rehat selama 14
hari sebelum menjalani latihan intensif di Universiti Utara Malaysia (UUM),
Sintok.
''Selepas itu mereka akan membuat
persiapan untuk kejohanan Piala Newspaper di Vietnam, Oktober ini.
''Dalam masa yang sama, ada
beberapa pemain yang telah disenaraikan oleh jurulatih skuad kebangsaan, K.
Rajagobal untuk ke Antalya, Turki dari 10 hingga 20 Jun ini, bagi menyertai
latihan serta perlawanan persahabatan di sana," katanya.
Mengenai Muslim Ahmad dan K.
Gurusamy yang dikatakan mendapat tawaran berlatih bersama kelab Vion Zlate
Moravce, di Slova, Azuddin berkata, beliau tidak mendapat apa-apa maklumat
mengenai perkara itu.
''Liga utama di Slovakia, Liga
Corgon akan memulakan musim 2010/2011 tidak lama lagi.
''Jika ada tawaran pun, mungkin
pada akhir Jun atau Julai. Buat masa ini belum ada sebarang maklum balas lisan
mengenai tawaran tersebut," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5aEHO6Wpd
© Utusan Melayu (M) Bhd