Sabtu, 15 September 2018

Harimau Muda rampas takhta Liga Perdana


ARKIB : 16/05/2009
Pemain Harimau Muda, Ahmad Shakir Md. Ali (tengah) berjaya melepasi asakan penjaga gol Sabah, Irwan Jamil pada perlawanan bola sepak Liga Perdana di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. - UTUSAN/ASWAD YAHYA

KUALA LUMPUR - Skuad bawah 19 tahun negara, Harimau Muda merampas takhta Liga Perdana daripada Johor selepas menewaskan Sabah 2-0 pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Dua gol menerusi Abd. Shukor Jusoh pada minit ke-32 dan 90 cukup untuk memintas Johor menerusi kelebihan tiga mata.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Harimau Muda melengkapkan saingan pusingan pertama dengan cukup bergaya.

Hasil daripada 12 perlawanan, skuad bimbingan Ong Kim Swee itu mengumpul 34 mata diikuti Johor 31 mata dan T. Team 25 mata.

T. Team semalam hanya mampu menambah satu mata lagi selepas diikat seri tanpa jaringan dengan Felda United pada perlawanan di Stadium KLFA, Cheras.

Keputusan itu membolehkan pasukan di tangga keempat liga, Kuala Lumpur mengurangkan jurang perbezaan mata kepada empat sahaja.

Ini selepas kejayaan membelasah SDM Kepala Batas 5-1 pada perlawanan di Stadium Batu Kawan.

PKNS pula dikejutkan Shahzan Muda 1-3 pada perlawanan di Stadium Darul Makmur sekali gus gagal untuk terus menyaingi Kuala Lumpur.

Azizul Kamaludin (m-20, 22) menjaringkan dua daripada tiga gol Shahzan Muda manakala satu gol lagi disumbangkan Abd. Rahman Kadir (m-36).

Gol tunggal dan saguhati PKNS pula dijaringkan Mohd. Khairul Anuar Ramli (m-70).

Dua lagi perlawanan menyaksikan Proton menewaskan Sarawak 4-2 di Stadium Kelana Jaya manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seri 2-2 dengan Melaka di Stadium Selayang.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5RDUiACj9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jumaat, 14 September 2018

Kim Swee tekad teruskan kecemerlangan Harimau Muda

ARKIB : 13/05/2009
KUALA LUMPUR - Walaupun kali pertama memegang jawatan sebagai jurulatih Harimau Muda menggantikan K. Rajagobal yang mempunyai tugas yang lebih berat melatih skuad senior dan bawah 23 negara, ia bukan masalah besar buat Ong Kim Swee untuk meneruskan rentak kemenangan.

Hasilnya Kim Swee berjaya melakarkan kemenangan pertama mengalahkan Kuala Lumpur 2-1 di gelanggang lawan kelmarin hasil untuk mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Perdana di belakang pasukan pendahulu, Johor.

Menurut Kim Swee, kemenangan tersebut bukan bermakna dia boleh berasa selesa tetapi harus berdepan dengan ujian kedua menentang pasukan Sabah di Stadium Nasional Bukit Jalil Jumaat ini dalam usaha untuk merampas kedudukan teratas liga.

"Johor tidak akan beraksi minggu ini, jadi pemain harus berusaha keras untuk mencatat kemenangan atau sekurang-kurangnya seri jika berazam untuk memintas Johor di puncak liga," katanya ketika ditemui di Stadium Bola Sepak Cheras kelmarin.

Jelasnya, anak-anak buahnya harus bermain seperti biasa dan berhati-hati dengan tiada sebarang strategi tertentu yang bakal digunakan apabila berdepan Sabah nanti.

"Saya mahu para pemain menganggap bertemu Skuad Badak nanti merupakan satu cabaran yang mudah buat mereka kerana pasukan tersebut sebelum ini telah mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Tentera.

"Apa yang penting saya mahu mereka sedar kerana berdepan dengan pasukan di kelompok bawahan tidak seharusnya dipandang mudah dan mengambil sikap sambil lewa," katanya.

Katanya, walaupun menggalas tugas getir yang dipegang oleh Rajagobal tetapi ia bukannya satu bebanan yang besar buatnya dan berazam akan menyambung kecemerlangan tersebut.

"Ia bukan masalah yang besar buat saya. Tugas saya agak mudah, hanya mengekalkan rentak kemenangan pasukan ini dan menyambung tugas yang ditinggalkan oleh Rajagobal.

"Saya akan berusaha untuk memastikan prestasi Harimau Muda kekal pada tahap tertinggi dan dalam masa yang sama meningkatkan prestasi para pemain secara individu," kata Kim Swee.

Pada perlawanan pertama di bawah kendaliannya itu, Harimau Muda mendahului 2-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Shahrul Hafiz Shafei pada minit ke-16 dan jaringan sendiri Azidan Sarudin minit ke-32 sebelum skuad ibukota memperolehi gol saguhati menerusi Badrul Hisyam Azmi di minit ke-89.

Johor mengumpul 31 mata hasil 10 menang, sekali seri dan sekali tewas manakala Harimau Muda juga dengan 31 mata hasil 10 menang, sekali seri dan belum pernah tewas, tetapi Johor di tangga teratas berkelebihan tiga jaringan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5R954yQap
© Utusan Melayu (M) Bhd