Sabtu, 15 September 2018

Harimau Muda rampas takhta Liga Perdana


ARKIB : 16/05/2009
Pemain Harimau Muda, Ahmad Shakir Md. Ali (tengah) berjaya melepasi asakan penjaga gol Sabah, Irwan Jamil pada perlawanan bola sepak Liga Perdana di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. - UTUSAN/ASWAD YAHYA

KUALA LUMPUR - Skuad bawah 19 tahun negara, Harimau Muda merampas takhta Liga Perdana daripada Johor selepas menewaskan Sabah 2-0 pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Dua gol menerusi Abd. Shukor Jusoh pada minit ke-32 dan 90 cukup untuk memintas Johor menerusi kelebihan tiga mata.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Harimau Muda melengkapkan saingan pusingan pertama dengan cukup bergaya.

Hasil daripada 12 perlawanan, skuad bimbingan Ong Kim Swee itu mengumpul 34 mata diikuti Johor 31 mata dan T. Team 25 mata.

T. Team semalam hanya mampu menambah satu mata lagi selepas diikat seri tanpa jaringan dengan Felda United pada perlawanan di Stadium KLFA, Cheras.

Keputusan itu membolehkan pasukan di tangga keempat liga, Kuala Lumpur mengurangkan jurang perbezaan mata kepada empat sahaja.

Ini selepas kejayaan membelasah SDM Kepala Batas 5-1 pada perlawanan di Stadium Batu Kawan.

PKNS pula dikejutkan Shahzan Muda 1-3 pada perlawanan di Stadium Darul Makmur sekali gus gagal untuk terus menyaingi Kuala Lumpur.

Azizul Kamaludin (m-20, 22) menjaringkan dua daripada tiga gol Shahzan Muda manakala satu gol lagi disumbangkan Abd. Rahman Kadir (m-36).

Gol tunggal dan saguhati PKNS pula dijaringkan Mohd. Khairul Anuar Ramli (m-70).

Dua lagi perlawanan menyaksikan Proton menewaskan Sarawak 4-2 di Stadium Kelana Jaya manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seri 2-2 dengan Melaka di Stadium Selayang.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5RDUiACj9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan