Khamis, 20 Disember 2018

Harimau Muda capai sasaran


ARKIB : 02/06/2010
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

SKUAD Harimau Muda tiba di KLIA, Sepang semalam selepas lebih tiga bulan berguru di Slovakia. - utusan/ HANAFI KHAMIS

SEPANG - Setelah lebih tiga bulan beraksi di luar negara, Harimau Muda A kembali ke tanah air semalam, dengan membawa pulang pengalaman dan mempamer peningkatan sepanjang beraksi dalam Liga Bawah 21 Divisyen 1 Slovakia.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azuddin Ahmad berkata, berdasarkan prestasi yang dipamerkan skuad Mohd. Azraai Khor Abdullah, jelas telah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

''Bagaimanapun kita masih menunggu laporan penuh daripada Azraai sendiri. Dalam masa yang sama, satu panel bebas juga akan membuat penilaian mengenai tahap peningkatan pemain Harimau Muda A," katanya ketika menyambut kepulangan skuad tersebut di di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA), semalam.

Jelasnya, Harimau Muda A telah manfaatkan sepenuhnya tempoh tiga bulan di Slovakia.

Untuk itu, katanya pemain perlu diuji di arena tempatan pula, bagi melihat tahap kemajuan yang dikatakan baik.

''Pemain diberi rehat selama 14 hari sebelum menjalani latihan intensif di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

''Selepas itu mereka akan membuat persiapan untuk kejohanan Piala Newspaper di Vietnam, Oktober ini.

''Dalam masa yang sama, ada beberapa pemain yang telah disenaraikan oleh jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal untuk ke Antalya, Turki dari 10 hingga 20 Jun ini, bagi menyertai latihan serta perlawanan persahabatan di sana," katanya.

Mengenai Muslim Ahmad dan K. Gurusamy yang dikatakan mendapat tawaran berlatih bersama kelab Vion Zlate Moravce, di Slova, Azuddin berkata, beliau tidak mendapat apa-apa maklumat mengenai perkara itu.

''Liga utama di Slovakia, Liga Corgon akan memulakan musim 2010/2011 tidak lama lagi.

''Jika ada tawaran pun, mungkin pada akhir Jun atau Julai. Buat masa ini belum ada sebarang maklum balas lisan mengenai tawaran tersebut," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5aEHO6Wpd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 19 Disember 2018

Misi tebus maruah!


MyMetroArena
Daripada Zulfaizan Mansor di Buriram dan Thailand
zulfaizan@nstp.com.my
 
SKUAD Harimau Malaya membawa dua misi penting pada aksi berdepan Korea Utara di Stadium I-Mobile, malam esok iaitu menyelamatkan maruah negara dan jurulatih, Nelo Vingada.

Ia perlawanan kelima Harimau Malaysia dalam Kumpulan B, kempen kelayakan Piala Asia 2019 selepas gagal meraih sebarang kemenangan dan yang terbaru tewas 1-4 kepada Korea Utara di stadium sama, kelmarin.

Justeru, tonggak pertahanan negara, Adam Nor Azlin menegaskan dia dan rakan sepasukan akan bermain bermati-matian untuk mencapai dua misi penting itu.

“Sudah pasti fokus utama kami mendapatkan kemenangan kerana tiada pemain yang bermain untuk kalah.

“Bagi perlawanan malam esok, misi kami untuk menebus maruah negara selain mahu membantu jurulatih, Vingada yang masih belum mengecapi

sebarang kemenangan selepas membimbing pasukan kebangsaan,” katanya pada sidang media di Stadium I-Mobile, hari ini.

Perlawanan malam esok bakal menjadi aksi sulung Adam bersama Harimau Malaya selepas hanya memanaskan bangku simpanan walaupun tersenarai dalam skuad sebelum ini.

Anak didik Vingada wajib mencatat kemenangan untuk menghidupkan sisa perjuangan mereka ke pusingan akhir Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas menghuni kedudukan tercorot dengan mengumpul satu mata.

Selain itu, Adam menegaskan dia bersedia menjadi ‘kereta kebal’ di benteng pertahanan negara yang bolos empat kali pada aksi berdepan Korea Utara, kelmarin.

“Sebelum ini saya sudah beraksi di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee (skuad B-22) dan saya fikir tiada masalah bergandingan dengan sesiapa pun di bahagian pertahanan.

“Apa yang penting, saya harap semua penyokong memberi sokongan padu kepada skuad kebangsaan dan kami akan cuba dapatkan keputusan positif bagi tahun ini,” katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 6:20 PM

Selasa, 18 Disember 2018

Harimau Muda catat kemenangan sulung


ARKIB : 29/03/2010
KUALA LUMPUR - Harimau Muda akhirnya mencatat kemenangan sulung pada Liga Divisyen 1 Slovakia apabila menumpaskan Dolny Kubin 3-2, kelmarin. Semangat juang dan keinginan memburu kemenangan, menjulang skuad bawah 21 tahun negara untuk mencatat kemenangan pertama selepas lima perlawanan, sejak di negara Eropah Timur itu pada 27 Februari lalu.

Petanda awal kemenangan anak buah Azraai Khor Abdullah terserlah menerusi gol pendahulu oleh penyerang, Izzaq Faris Ramlan pada minit ke-32.

Namun, skuad negara diikat tuan rumah dan ketinggalan 1-2 sehingga minit ke-88, yang menyaksikan Izzaq Faris tampil menyamakan kedudukan dengan gol keduanya.

Sekalipun sepatutnya boleh berpuas hati dengan keputusan seri, S. Sivanesan memastikan Harimau Muda muncul pemenang menerusi jaringan pada minit ke-90.

Pada 20 Mac lalu, Harimau Muda ditewaskan MFK Tatran Liptovsky Mikulas 1-3, Zemplin Michalovce 0-3 (13 Mac), MFK Ruzemberok B 0-3 (6 Mac) dan Slovan Duslo 1-4 (27 Februari).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5a6tyj0Tb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Harimau Muda benam PKNS 4-2


ARKIB : 26/03/2010
26/03/2010 11:59pm

MELAKA 26 Mac - Setelah tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut, pasukan Harimau Muda B akhirnya menemui rentak kemenangan apabila berjaya mengejutkan PKNS, 4-2 pada pertemuan Liga Perdana di Stadium Hang Tuah, malam ini.

Bagaimanapun, PKNS terlebih dahulu di hadapan melalui tandukan Tengku Adam Tengku Rosli pada minit ke-5 sebelum Harimau Muda mengikat kedudukan 1-1 oleh D.Saarvindran ketika permainan masuk minit ke-16.

Harimau Muda mengambil giliran mendahului PKNS apabila sepakan percuma yang diambil Mohd. Amer Saidin menerjah ke gawang PKNS pada minit ke-30.

Namun, Tengku Adam sekali menjaringkan gol buat PKNS melalui sepakan kencang kaki kirinya, tujuh minit selepas gol Harimau Muda bagi menamatkan perlawanan separuh masa pertama, 2-2.

Sebaik separuh masa kedua bermula, Harimau Muda lebih banyak menguasai permainan dan hasilnya Syahrul Azwari Ibrahim meletakkan pasukannya di hadapan sekali pada minit ke-52 untuk kedudukan 3-2.

Anak-anak buah Ong Kim Swee terus garang apabila melengkapkan kemenangan bergaya mereka pada malam ini 4-2 sekali lagi menerusi Syahrul Azwari Ibrahim, lapan minit sebelum permainan tamat. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_30.htm#ixzz5a6qBy4My
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 16 Disember 2018

Zamir lega dapat ke Slovakia


Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Peluang keemasan menunjukkan taring dalam Liga Divisyen Satu Bawah 21 Slovakia, ibarat 'sirih pulang ke gagang' buat penjaga gol utama Harimau Muda A, Muhammad Zamir Selamat selepas hampir sebulan berada di sana, pada September tahun lalu.

Ini turut melenyapkan teka-teki yang bersarang di kepalanya dan rakan sepasukan, selepas dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) daripada Liga Super musim 2010, selain ditolak pula untuk menyertai Liga Singapura.

"Nasib kami yang terumbang-ambing, semangat yang tiba-tiba patah dan kesamaran dengan hala tuju pasukan sejak sebulan lalu, sudah lenyap dengan pengumuman FAM kelmarin untuk membawa kami beraksi dalam Liga Slovakia," kata anak jati Kuala Lumpur berusia 21 tahun ini.

"Gembira juga dapat kembali ke negara itu untuk menimba pendedahan dan pengalaman liga gaya permainan Eropah Timur, kerana sebelum ini kami pernah bermain siri persahabatan dengan kelab remaja mereka, Hungary dan Austria," katanya ketika ditemui di di sini, kelmarin.

Muhammad Zamir yang juga bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria di sini, sebelum bertukar ke Sekolah Sukan Bukit Jalil, mengulas berita gembira FAM buat skuad bawah 21 tahun negara bimbingan Azraai Khor Abdullah, yang bakal mengasah taring mereka di negara itu mulai 27 Februari hingga 29 Mei ini.

"Ketika siri persahabatan tahun lalu, kami menginap dan berpangkalan di Vion, Slovakia dan menggunakan bas untuk ke pelbagai gelanggang bagi siri persahabatan, jadi rasanya tiada masalah menyesuaikan diri bagi kebanyakan kami termasuk dari segi makanan atau cuaca," katanya.

Tonggak skuad juara Liga Perdana musim 2009 di bawah K. Rajagobal sebelum beralih kepada Ong Kim Swee ketika itu, mengakui mendapat sokongan padu keluarganya dan berazam memanfaatkan pengalaman Liga Slovakia, sekali gus mewakili negara pada Sukan SEA Indonesia 2011.

"Memandangkan semua penjaga gol skuad juara Sukan SEA Laos XXV di lalu sudah melebihi 23 tahun, saya rasa peluang bermain Sukan SEA 2011 bertambah cerah jika dapat kekal dalam Harimau Muda A," katanya yang meminati R. Arumugam, Azmin Azram Aziz dan Peter Schmeichel.

"Namun jika ada rezeki, saya turut mengidam dan berazam untuk lebih cepat mewakili skuad bawah 23 tahun ke Sukan Asia Guangzhou 2010 (November ini) ekoran ketiadaan Sharbinee Allawee Ramli dan Farizal Marlias," katanya.

Muhammad Zamir yang mendapat tajaan peralatan Lotto sejak 4 Disember lalu, kini bersaing dengan dua lagi penjaga gol Harimau Muda A, K. Sasikumar dan Syamim Othman selain mendapat bimbingan khas jurulatih penjaga gol pasukan, P. Mohana Sundram.

Selain Liga Slovakia, skuad ini bakal beraksi dalam Piala Obama di Michigan, Amerika Syarikat pada Mei ini dan Piala Newspaper di Vietnam (Oktober) selain siri lawatan dan persahabatan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, India dan Qatar.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5Zq10bsSn
© Utusan Melayu (M) Bhd