Selasa, 27 November 2018

'Harimau Muda usah pasang impian'


 
ARKIB : 25/07/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
Pasukan T-Team tetap akan memastikan kemenangan ke atas Sabah walaupun harapan untuk memintas Harimau Muda terlalu tipis.
KUALA LUMPUR - Jika Harimau Muda mengimpikan gelaran juara Liga Perdana lebih awal dengan mengharapkan kekalahan pencabar terdekatnya T-Team kepada Sabah Rabu depan, lupakan sahaja.

Ini kerana skuad Pantai Timur itu tidak rela melihat Harimau Muda bergelar juara tanpa beraksi.

Harimau Muda akan dinobat sebagai juara tanpa perlu berpeluh di padang jika T-Team kalah kepada Sabah Rabu ini.

Jika kalah, T-Team yang kini mengumpul 53 mata tidak lagi mampu memintas Harimau Muda yang telah mengumpul 59 mata.

"Memang Harimau Muda akan mendapat manfaat iaitu bergelar juara liga jika kita kalah kepada Sabah Rabu ini.

"Namun saya tidak mahu itu berlaku. Kami yakin akan menang ke atas Sabah dan meneruskan sisa peluang untuk menghambat mereka,'' kata jurulatih T-Team Che Ku Marzuki Mohd. Nor ketika dihubungi semalam.

Harimau Muda sepatutnya bergelar juara jika menang ke atas Sarawak pada perlawanan di Kuching, Isnin lalu.

Namun, perlawanan penuh tegang yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuching menyebabkan Harimau Muda seri 1-1.

Keputusan itu turut memberikan T-Team sisa peluang untuk memintas walaupun peluang terlalu tipis kerana perlu memenangi dua perlawanan terakhir sambil mengharapkan Harimau Muda kalah.

Ketika ini, kelebihan memihak kepada Harimau Muda kerana jika pasukan itu seri dengan Kuala Lumpur pada 2 Ogos ini, ia sudah memadai untuk skuad bimbingan Ong Kim Swee bergelar juara.

Menurut Che Ku Marzuki, T-Team tetap akan memastikan kemenangan ke atas Sabah walaupun harapan untuk memintas Harimau Muda terlalu tipis.

"Walaupun nampak mudah, kita tetap akan berhati-hati sewaktu menentang Sabah nanti.

"Berdasarkan perlawanan di pusingan pertama, kita sukar menundukkan mereka. Apatah lagi Sabah sedang dalam persediaan untuk mengharungi saingan Piala Malaysia.

"Untuk perlawanan dengan Sabah minggu depan, T-Team akan mencuba yang terbaik, menurunkan pemain utama.

"Aksi di depan penonton sendiri turut memberi kelebihan dan saya berharap peminat akan hadir beramai-ramai untuk menyokong pasukan mereka,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5Y3khp5GA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan