Jumaat, 30 November 2018

Selangor dapat 'lubuk'


ARKIB : 16/08/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
TIMBALAN Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad (kiri) menyampaikan piala kemenangan kepada kapten pasukan Harimau Muda, K. Gurusamy selepas skuad tersebut muncul Liga Perdana di Wisma FAM, semalam.

PETALING JAYA - Selangor berpeluang mencipta sejarah menjadi pasukan pertama merangkul empat gelaran semusim apabila menerima undian mudah dalam saingan Piala Malaysia yang bermula 26 September ini.

Selepas menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super, Selangor diramal mudah untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia apabila diundi dalam Kumpulan D bersama KM Naza, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah.

Undian yang diadakan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam turut menyaksikan Kumpulan A membariskan naib juara Liga Super, Perlis bersama-sama pasukan kelab, KL Plus, Pahang dan Melaka.

Kumpulan yang dianggap sedikit sukar ialah dari Kumpulan B, apabila empat pasukan negeri termasuk pasukan pilihan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Sarawak mengisi slot tersebut.

Kumpulan C pula dianggap terbuka dengan mana-mana pasukan mempunyai peluang seimbang untuk ke suku akhir, Johor FC mengetuai kumpulan diikuti Perak, UPB-MyTeam dan Kuala Lumpur.

Kumpulan E menyaksikan Kedah dan Kelantan akan bertemu sesama sendiri, manakala Pulau Pinang dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengisi dua lagi slot untuk kumpulan tersebut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanding Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Che Mat Jusoh saingan peringkat kumpulan akan bermula pada 26 September ini.

Katanya, juara setiap kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir dan diiringi tiga pasukan yang menduduki tangga kedua terbaik dari lima kumpulan tersebut.

"Saingan suku akhir pertama dijangka akan bermula pada 20 Oktober ini, diikuti dengan suku akhir kedua empat hari kemudian," katanya dalam sidang akhbar semalam.

Perlawanan akhir Piala Malaysia akan berlangsung pada 21 November bertempat di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Turut diadakan pada majlis undian tersebut ialah penyerahan pemenang kasut emas Liga Super kepada penyerang Perlis Nizaruddin Yusof yang menjaringkan 18 gol, manakala Harris Safwan Kamal menerima kasut emas Liga Perdana apabila menyumbangkan 24 gol utuk pasukan T-Team.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YKe0G73o
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 29 November 2018

Penat punca B-19 tewas di Vietnam


ARKIB : 05/08/2009
KUALA LUMPUR - Keletihan dikatakan punca pasukan bola sepak bawah 19 tahun negara tewas 0-2 kepada pasukan tuan rumah dalam perlawanan pertama Kumpulan B, Kejohanan Bawah 19 AFF di Vietnam, semalam.

Perkara itu diakui sendiri oleh jurulatih, Ong Kim Swee berikutan lima pemainnya dari pasukan Harimau Muda baru sahaja menamatkan saingan Liga Perdana dalam pertemuan terakhir menentang Kuala Lumpur Ahad lepas.

Kata Kim Swee, selain penat anak buahnya juga dilihat tidak mampu untuk menandingi kepantasan yang dimiliki oleh pemain Vietnam walaupun berjaya mengikat kedudukan 0-0 pada separuh masa pertama.

"Bagaimanapun saya berpuas hati dengan keputusan ini kerana pemain tidak terlalu tertekan dengan kehadiran ribuan penonton tuan rumah sebaliknya mampu mengimbangi perlawanan pada separuh masa pertama," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Jelasnya, gol pertama yang dijaringkan oleh Vietnam pada minit ke-47 berpunca dari sepakan percuma manakala gol kedua pada minit ke-62 adalah kesilapan individu pemainnya sendiri.

Malaysia akan menentang Timor Leste Khamis ini (esok) dalam perlawanan keduanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YJFeBehb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Harimau Muda kempunan hadiah


 
ARKIB : 04/08/2009
Harimau Muda kempunan hadiah
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com
skuad Harimau Muda bersorak gembira selepas menewaskan Kuala Lumpur di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin sekali gus mengesahkan kejuaraan Liga Perdana menjadi milik pasukan itu. - UTUSAN/Asmaruddin Jamaluddin

PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah membuat keputusan bahawa Harimau Muda tidak boleh menerima hadiah wang tunai selaku juara bola sepak Liga Perdana musim ini.

Perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, semalam, bagaimanapun pasukan T-Team layak menerima RM100,000 selaku naib juara manakala pasukan di tangga ketiga, Johor meraih RM 50,000.

Menurut Pengerusi JKPT FAM, Datuk Che Mat Jusoh, wang yang sepatutnya diberikan kepada juara Liga Perdana iaitu sebanyak RM200,000 akan kekal dalam simpanan FAM.

"Bagaimanapun mereka tetap dinobatkan selaku juara Liga Perdana dan perkara ini merujuk kepada garis panduan FAM fasal 3.23," katanya selepas mesyuarat JKPT di Wisma FAM, semalam.

Harimau Muda pertama kali menjuarai Liga Perdana selepas dua musim beraksi di bawah bimbingan K. Rajagobal, sebelum jurulatih itu menjawat jurulatih kebangsaan dan tempatnya diganti oleh Ong Kim Swee.

Dalam aksi terakhir, semalam mereka menewaskan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk mengesahkan kejuaraan sementara T-Team hanya mencatat keputusan seri 1-1 menentang Shahzan Muda dan dibezakan dengan jurang empat mata.

Sementara itu, JKPT FAM juga telah memutuskan bahawa undian Piala Malaysia akan berlangsung pada 15 Ogos ini dengan melibatkan 20 pasukan yang akan dibahagikan dalam lima kumpulan.

"Pasukan yang menduduki tangga pertama, kedua, ketiga, keempat, kelima akan diletakkan sebagai pasukan pilihan, bagi menerajui kelima-lima kumpulan tersebut," katanya.

Selain 14 pasukan negeri turut bersaing dalam Piala Malaysia musim ini ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama empat kelab terbaik, KM Naza, Johor FC, KL Plus dan UPB-MyTeam.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YJE9XlPo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Harimau Muda juara Liga Perdana


ARKIB : 03/08/2009
KUALA LUMPUR - Harimau Muda mengesahkan kejuaraan Liga Perdana musim ini selepas mencatat kemenangan 2-1 dalam perlawanan terakhir menentang Kuala Lumpur di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Sementara itu, T-Team yang memberi tekanan kepada pasukan bimbingan Ong Kim Swee dalam beberapa perlawanan terakhir sebelum ini terpaksa akur di tempat kedua dengan perbezaan empat mata.

T-Team sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Shahzan Muda di Stadium Darul Makmur, Kuantan dan gagal untuk melakukan kejutan memintas Harimau Muda di saat akhir.

Harimau Muda yang sebelum ini dibimbing oleh K. Rajagobal memperoleh jaringan pada minit ke-32 melalui Fandi Othman sebelum disamakan Azwan Abd. Malik pada minit ke-50.

Bagaimanapun 10 minit sebelum perlawanan tamat Wan Zack Haikal mengesahkan kemenangan Harimau Muda apabila menjaring gol bagi menjadikan keputusan muktamad 2-1.

Sementara itu Johor mengesahkan kedudukan di tempat ketiga selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Proton FC di tempat lawan.

Keputusan lain menyaksikan Felda United menewaskan Melaka 1-0, SDM Kepala Batas dibelasah Sarawak 0-5 dan Sabah seri 1-1 dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5YJ3BO2P4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 27 November 2018

'Harimau Muda usah pasang impian'


 
ARKIB : 25/07/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
Pasukan T-Team tetap akan memastikan kemenangan ke atas Sabah walaupun harapan untuk memintas Harimau Muda terlalu tipis.
KUALA LUMPUR - Jika Harimau Muda mengimpikan gelaran juara Liga Perdana lebih awal dengan mengharapkan kekalahan pencabar terdekatnya T-Team kepada Sabah Rabu depan, lupakan sahaja.

Ini kerana skuad Pantai Timur itu tidak rela melihat Harimau Muda bergelar juara tanpa beraksi.

Harimau Muda akan dinobat sebagai juara tanpa perlu berpeluh di padang jika T-Team kalah kepada Sabah Rabu ini.

Jika kalah, T-Team yang kini mengumpul 53 mata tidak lagi mampu memintas Harimau Muda yang telah mengumpul 59 mata.

"Memang Harimau Muda akan mendapat manfaat iaitu bergelar juara liga jika kita kalah kepada Sabah Rabu ini.

"Namun saya tidak mahu itu berlaku. Kami yakin akan menang ke atas Sabah dan meneruskan sisa peluang untuk menghambat mereka,'' kata jurulatih T-Team Che Ku Marzuki Mohd. Nor ketika dihubungi semalam.

Harimau Muda sepatutnya bergelar juara jika menang ke atas Sarawak pada perlawanan di Kuching, Isnin lalu.

Namun, perlawanan penuh tegang yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuching menyebabkan Harimau Muda seri 1-1.

Keputusan itu turut memberikan T-Team sisa peluang untuk memintas walaupun peluang terlalu tipis kerana perlu memenangi dua perlawanan terakhir sambil mengharapkan Harimau Muda kalah.

Ketika ini, kelebihan memihak kepada Harimau Muda kerana jika pasukan itu seri dengan Kuala Lumpur pada 2 Ogos ini, ia sudah memadai untuk skuad bimbingan Ong Kim Swee bergelar juara.

Menurut Che Ku Marzuki, T-Team tetap akan memastikan kemenangan ke atas Sabah walaupun harapan untuk memintas Harimau Muda terlalu tipis.

"Walaupun nampak mudah, kita tetap akan berhati-hati sewaktu menentang Sabah nanti.

"Berdasarkan perlawanan di pusingan pertama, kita sukar menundukkan mereka. Apatah lagi Sabah sedang dalam persediaan untuk mengharungi saingan Piala Malaysia.

"Untuk perlawanan dengan Sabah minggu depan, T-Team akan mencuba yang terbaik, menurunkan pemain utama.

"Aksi di depan penonton sendiri turut memberi kelebihan dan saya berharap peminat akan hadir beramai-ramai untuk menyokong pasukan mereka,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5Y3khp5GA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Harimau Muda tetap gusar


ARKIB : 23/07/2009
KUALA LUMPUR - Kejuaraan sudah dalam genggaman, malah Harimau Muda bakal bergelar juara Liga Perdana tanpa perlu beraksi jika pencabar terdekatnya T-Team tunduk kepada Sabah pada perlawanan Rabu ini.

Jika T-Team kalah dalam perlawanan itu, Harimau Muda yang kini mengumpul 59 mata akan bergelar juara kerana dengan baki satu perlawanan, T-Team, 53 mata tidak lagi mampu memintas skuad bimbingan Ong Kim Swee itu.

Namun, bukan itu yang difikirkan oleh Kim Swee, sebaliknya pengganti K. Rajagobal itu resah memikirkan tentangan getir yang bakal dihadapi skuadnya apabila berdepan Kuala Lumpur pada perlawanan terakhir 2 Ogos ini.

Tanpa mengambil kita keputusan perlawanan di antara T-Team dan Sabah, Harimau Muda akan bergelar juara sekali pun seri dengan Kuala Lumpur.

Dalam hal ini, Kim Swee berkata, dia tidak memandang ringan perlawanan dengan Kuala Lumpur meskipun hakikatnya hanya memerlukan satu mata daripada perlawanan itu untuk mereka bergelar juara.

''Saya sifatkan perlawanan terakhir kami menentang Kuala Lumpur ibarat perlawanan akhir. Ia merupakan perlawanan penentu kejuaraan kami.

''Melihatkan situasi semasa Kuala Lumpur, mereka bersemangat tinggi kerana sedang bersaing dengan Johor untuk perebutan tempat ketiga liga.

''Ini bermakna Kuala Lumpur akan menyusahkan kami nanti. Jadi saya tidak mengambil mudah perlawanan dengan Kuala Lumpur,'' katanya ketika dihubungi, semalam.

Untuk memastikan kejuaraan, katanya, ia terpulang kepada para pemain didorong dengan semangat untuk mencipta sejarah sebagai pasukan muda yang menjulang trofi Liga Perdana.

''Saya berharap pemain mengambil inspirasi seperti mana skuad muda kebangsaan kita yang berjaya memberi tentangan kepada Manchester United,

''Saya mempunyai persediaan selama 10 hari sebelum menentang Kuala Lumpur dan tempoh yang panjang ini akan saya gunakan untuk memantapkan persediaan pasukan,'' katanya.

Harimau Muda sepatutnya bergelar juara jika menang ke atas Sarawak pada perlawanan di Kuching, Isnin lalu.

Namun, perlawanan penuh tegang yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuching menyebabkan Harimau Muda seri 1-1.

Mengulas perlawanan dengan Sarawak, Kim Swee mengakui perlawanan agak tegang kerana Sarawak terdesak untuk mengutip mata bagi mengelak tercicir ke Liga FAM.

''Selain perlawanan tegang, ketiadaan lapan pemain tonggak kerana menyertai skuad kebangsaan, cedera dan digantung menyebabkan rentak kami terjejas.

''Namun, para pemain utama termasuk yang mewakili negara ketika menentang United tempoh hari iaitu Ahmad Shakir Ali, G. Gurusamy dan Mohd. Muslim Ahmad akan beraksi untuk perlawanan terakhir nanti,'' katanya.

Sementara itu, T-Team masih mengharapkan keajaiban untuk mereka mengubah sisa peluang kepada kemenangan yang akan membawa kejayaan.

Dengan baki dua perlawanan yang perlu dimenangi jika mahu bergelar juara sambil mengharapkan Harimau Muda tersungkur ketika menentang Kuala Lumpur, jurulatih T-Team, Che Ku Marzuki Mohd. Nor masih enggan mengalah.

''Peluang kami tetap ada. Saya ramal Harimau Muda akan diberi tentangan sengit oleh Kuala Lumpur pada perlawanan terakhir mereka.

''Tumpuan kami sekarang ialah untuk memenangi dua perlawanan terakhir menentang Sabah dan Shahzan Muda,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5Y3dEL6rX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Harimau Muda rampas takhta Liga Perdana


 
ARKIB : 16/05/2009
Harimau Muda rampas takhta Liga Perdana
Pemain Harimau Muda, Ahmad Shakir Md. Ali (tengah) berjaya melepasi asakan penjaga gol Sabah, Irwan Jamil pada perlawanan bola sepak Liga Perdana di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. - UTUSAN/ASWAD YAHYA

KUALA LUMPUR - Skuad bawah 19 tahun negara, Harimau Muda merampas takhta Liga Perdana daripada Johor selepas menewaskan Sabah 2-0 pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Dua gol menerusi Abd. Shukor Jusoh pada minit ke-32 dan 90 cukup untuk memintas Johor menerusi kelebihan tiga mata.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Harimau Muda melengkapkan saingan pusingan pertama dengan cukup bergaya.

Hasil daripada 12 perlawanan, skuad bimbingan Ong Kim Swee itu mengumpul 34 mata diikuti Johor 31 mata dan T. Team 25 mata.

T. Team semalam hanya mampu menambah satu mata lagi selepas diikat seri tanpa jaringan dengan Felda United pada perlawanan di Stadium KLFA, Cheras.

Keputusan itu membolehkan pasukan di tangga keempat liga, Kuala Lumpur mengurangkan jurang perbezaan mata kepada empat sahaja.

Ini selepas kejayaan membelasah SDM Kepala Batas 5-1 pada perlawanan di Stadium Batu Kawan.

PKNS pula dikejutkan Shahzan Muda 1-3 pada perlawanan di Stadium Darul Makmur sekali gus gagal untuk terus menyaingi Kuala Lumpur.

Azizul Kamaludin (m-20, 22) menjaringkan dua daripada tiga gol Shahzan Muda manakala satu gol lagi disumbangkan Abd. Rahman Kadir (m-36).

Gol tunggal dan saguhati PKNS pula dijaringkan Mohd. Khairul Anuar Ramli (m-70).

Dua lagi perlawanan menyaksikan Proton menewaskan Sarawak 4-2 di Stadium Kelana Jaya manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seri 2-2 dengan Melaka di Stadium Selayang.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5Y2YIolti
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 26 November 2018

Harimau Muda terus mengaum


ARKIB : 07/07/2009
Pemain Shahzan Muda, Khairul Jasri Salleh (kiri) diasak pemain Proton FC, Faizal Mansur pada saingan bola sepak Liga Perdana di Kuala Lumpur, malam tadi. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH
KUALA LUMPUR - Pasukan Harimau Muda mengukuhkan cengkamannya selaku pendahulu bola sepak Liga Perdana selepas membenam Melaka 2-0 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Kemenangan ke-17 daripada 19 perlawanan musim ini, membolehkan skuad bawah 19 tahun kebangsaan itu menerajui liga dengan 52 mata.

Harimau Muda yang dibimbing oleh jurulatih, Ong Kim Swee kini jauh meninggalkan pencabar terdekat, T-Team dengan kelebihan lapan mata.

Hasrat T-Team untuk merapatkan jurang tidak tidak kesampaian apabila pertemuan dengan Sabah yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ismail, Kuala Terengganu dibatalkan pada saat akhir.

Media dimaklumkan, pembatalan tersebut berpunca daripada kegagalan pasukan Sabah mendapat tiket penerbangan di saat akhir.

Johor sebaliknya terus mengekori dua pasukan teratas selepas mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas Sarawak di Stadium Hassan Yunos.

Keempat-empat gol tuan rumah dijaringkan Norizam Salaman (minit ke-23), Mohd. Sairozi Daud (36), Mohd. Hardi Ahmad (71) dan Jazarin Jamaluddin, pada minit ke-87. Gol tunggal Sarawak disempurnakan oleh Joseph Kalang, minit ke-44.

Dalam satu lagi perlawanan, Kuala Lumpur mengukuhkan kedudukan di tangga keempat selepas menundukkan PKNS Selangor 2-0 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya.

Di Stadium KLFA, Cheras, Felda United menumpaskan wakil Pulau Pinang, SDM Kuala Batas 3-1, terima kasih kepada jaringan Hasmawi Hassan pada minit pertama, diikuti Khairul Izwan Khalid (m-62) dan Mohd. Hazshafiq Hamzah (m-63). Gol SDM pula dijaringkan Azman Nizam Abdullah pada minit ke-24.

Di Stadium Darul Makmur, Shahzan Muda hanya mampu seri 1-1 dengan Proton FC.

Shahzan membuka jaringan menerusi pemain pertahanan, G. Mahathevan pada minit ke-32, tetapi Proton menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Khairul Akhyar Husain, minit ke-79.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5XxR4VggG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Harimau Muda kukuh cengkaman


ARKIB : 04/07/2009
KUALA LUMPUR - Skuad bawah 19 tahun negara, Harimau Muda belum mahu membenarkan mana-mana pasukan menggugat keselesaan mereka sebagai pendahulu Liga Perdana apabila terus mengukuhkan cengkaman.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas Felda United pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam meletakkan mereka kini lima mata di depan di samping memiliki satu perlawanan kurang dalam tangan.

Walaupun pencabar terdekat, T. Team turut mencatat kemenangan 1-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium KLFA Cheras, semalam namun pasukan dari Terengganu itu hanya mampu mengekori sahaja sambil mengharap Harimau Muda tercicir mata.

Begitu juga pasukan di tangga ketiga liga, Johor yang juga mencatat kemenangan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0.

Walaupun terpaksa beraksi 10 pemain dalam baki 22 minit permainan, Johor masih mampu menjaringkan gol menerusi Mohd. Khairul Ismail (m-54) dan Sairoji Daud (m-90).

Pasukan tercorot, SDM Kepala Batas pula mengakhiri badi dengan mencipta kemenangan pertama musim ini menewaskan Shahzan Muda 2-1 di Stadium Batu Kawan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5XxLzGDUG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Harimau kembali temui rentak


ARKIB : 30/06/2009
KUALA LUMPUR - Harimau Muda bangkit daripada kekalahan pertama kepada Proton minggu lalu namun hanya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Shahzan Muda pada aksi Liga Perdana semalam.

Jaringan N. Aminuddin Shaharudin pada minit ke-23 bertahan sehingga ke akhir perlawanan di Stadium Darulmakmur, Kuantan untuk skuad Ong Kim Swee terus meneraju liga dengan 46.

Ia merupakan kemenangan ke-15 Harimau Muda dari 17 perlawanan yang kini hanya kalah sekali kepada Proton 0-2 minggu lalu untuk selesa mendahului dengan kelebihan lima mata.

Namun T-Team semakin memperkuatkan cengkaman di tangga kedua, sekali gus meneruskan rentak untuk menghambat pasukan Harimau Muda apabila membelasah pasukan kedua tercorot Sarawak 7-0.

Perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu menyaksikan Haris Safwan mencitpa hatrik pada minit ke-47, m-63 dan m-83.

Penyerang kebangsaan, Hairudin Omar turut mencatat nama sebagai penjaring menerusi dua gol pada minit ke-72 dan ke-75.

Azrul Azwan Aminuddin Baki dan Mohd. Kamal Rodiajat melengkapkan kemenangan besar T-team apabila masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-60 dan ke-85.

Kemenangan besar itu membolehkan T-Team mengumpul 41 mata, hanya lima mata dipisahkan dengan Harimau Muda.

Turut mencabar tangga kedua ialah Johor yang kalah kepada T-Team Jumaat lalu apabila mengutip mata penuh walaupun hanya mengatasi PKNS 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Johor kini mengumpul 36 mata, lima mata di belakang T-Team namun masih kurang satu perlawanan berbanding pasukan dari Panta Timur itu.

Sementara itu, skuad warga kota Kuala Lumpur mempertahankan kedudukan di tangga keempat selepas menang 3-0 ke atas Melaka di Stadium Jebat.

Kuala Lumpur kini mengumpul 32 mata, empat mata di belakang pasukan ketiga Johor.

Proton yang melakukan kejutan ke atas Harimau Muda gagal meneruskan aksi cemerlang apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Tentera di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Keputusan itu menyebabkan Proton ketinggalan dua mata di belakang Kuala Lumpur setelah berkongsi 29 mata sebelum perlawanan semalam.

Sementara itu, Felda United memintas PKNS untuk menduduki tangga keenam selepas membenam Sabah 3-2 di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur.



SUMBRArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5XxGr8xj1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Harimau Muda terus mengaum


 
ARKIB : 20/06/2009
Harimau Muda terus mengaum
Pemain T-Team, Subri Sulong (kiri) cuba melakukan rembatan sambil dihalang dua pemain ATM pada saingan Liga Super di Stadium Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganau Semalam. T-Team menang 3-1. - UTUSAN/AZLAN Bahrum
KUALA LUMPUR - Rehat selama dua minggu tidak memberi sebarang masalah buat Harimau Muda untuk kembali mengganas apabila menang besar 4-0 ke atas SDM Kepala Batas dalam saingan Liga Perdana di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Ahmad Shakir Ali muncul wira dengan melakukan hatrik pada minit ke-49, 67 dan 82, manakala satu lagi jaringan dihasilkan Mohd. Muslim Ahmad minit ke-46 mengukuhkan cengkaman pasukan bimbingan Ong Kim Swee itu di persada liga.

Sementara itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, T-Team tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-1 sekali gus memintas Johor untuk berada di tangga kedua.

Gol T-Team dijaringkan oleh Mohd. Harris Safwan pada minit ke-13, Hairuddin Omar minit ke-48 dan Norhisham Hassan (minit ke-50), manakala gol saguhati ATM disumbang Juhairi Ahmad melalui sepakan penalti pada minit ke-90.

Di Stadium Likas menyaksikan pasukan tuan rumah, Sabah gagal menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri apabila tewas tipis kepada Proton FC 0-1 hasil jaringan Mohd. Khairul Akhyar pada minit ke-64.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pula menyaksikan PKNS FC sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Melaka, bagaimanapun mereka berjaya melonjak ke tangga kelima memintas Proton FC.

Sarawak pula mencatat kemenangan 4-2 ke atas Shahzan Muda di Stadium Sarawak, Kuching melalui jaringan Joseph Kalang Tie pada minit ke-30, 63, manakala dua lagi gol disumbangkan Zamri Morshidi minit ke-36 dan Mohd. Dzulazlan Ibrahim minit ke-42

Manakala gol Shahzan Muda dijaringkan Abdul Rahman Abdul Kadir minit ke-17 dan 80
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5XwqBeJ1Z
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 25 November 2018

Harimau Muda lebar penguasaan


 

ARKIB : 19/05/2009
Harimau Muda lebar penguasaan
Dua pemain Felda United, Rashid Mahmud (kanan) yang patah tangan dan Mohd. Khairul Anuar Jamil yang cedera teruk di bahagian lutut terpaksa dikejarkan ke hospital di pertengahan babak pertama ketika menentang T-Team di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, semalam tadi. 
KUALA LUMPUR - Skuad bawah 19 tahun negara, Harimau Muda membuka tirai saingan pusingan kedua Liga Perdana dengan mengukuhkan kedudukan di puncak liga selepas menang tipis 1-0 ke atas Sabah di Stadium Likas, semalam.

Jaringan tunggal perlawanan menerusi Abd. Shukor Yusof (m-90) cukup untuk meletakkan Harimau Muda kini selesa mengatasi Johor dengan enam mata.

Johor tidak turun beraksi semalam tetapi memiliki kurang satu perlawanan berbanding Harimau Muda yang sudah mengumpul 37 mata daripada 13 perlawanan.

T. Team pula berpesta gol ketika menewaskan Felda United 4-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin untuk mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga liga.

Hairuddin Omar melakukan hatrik pada minit ke-3, 63 dan 78 manakala satu lagi gol dijaringkan Azrul Azran Amiruddin (m-75).

Namun perlawanan semalam dihiasi insiden patah tangan membabitkan pemain Felda, Rashid Mahmud pada minit ke-16.

Rashid bersama rakan sepasukan, Khairul Anuar Jamil yang cedera teruk di kaki terpaksa dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.

Kuala Lumpur pula mengekori rapat di tangga keempat selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas SDM Kepala Batas di Stadium KLFA, Cheras.

Turut mencatat kemenangan ialah Proton FC yang menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Sarawak.

Kemenangan itu membolehkan Proton melonjak dari tangga ketujuh ke tangga kelima.

Kejayaan Proton itu turut dibantu kegagalan PKNS memungut tiga mata apabila diikat 1-1 oleh Shahzan Muda di Stadium Petaling Jaya.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula mencipta kemenangan kedua mereka musim ini selepas menewaskan Melaka 3-1 di tempat lawan iaitu Stadium Hang Tuah.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5Xv701mhK
© Utusan Melayu (M) Bhd