Khamis, 31 Oktober 2019

Penalti selamatkan Malaysia


 ARKIB : 08/10/2008
Penalti selamatkan Malaysia
KUALA LUMPUR - Malaysia terselamat dengan gol penalti untuk terus mengintai peluang ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak Bawah 16 Tahun Asia apabila mengikat Yemen 1-1 dalam perlawanan Kumpulan D di Stadium MHSK, Tashkent, Uzbekistan, semalam.

Satu mata disambar skuad remaja negara angkara kesilapan pemain Yemen, Ahmed Al Khamri memegang bola selepas tiupan wisel pengadil yang disangkanya memberikan ofsaid kepada lawan ketika empat minit masa kecederaan babak kedua.

Penyerang Malaysia, Mohamad Fandi Othman lantas tidak mensia-siakan pemberian penalti oleh pengadil, Salem Mujghef dari Jordan untuk merembat masuk menewaskan penjaga gol Yemen yang juga naib juara 2002, Mohammed Waleed Abdullah Ali.

Yemen bagaimanapun mendahului menerusi sepakan penalti ketua pasukannya, Al Shamsi Mohammed Hussein Mohammed pada minit ke-10 selepas rakan sepasukan, Greef Muhsen Zeid dijatuhkan dalam kotak penalti.

Ahad lalu, anak buah Lim Kim Chon dibenam juara bertahan, Jepun 4-0 tetapi keputusan seri ini sekurang-kurangnya memulihkan semangat mereka untuk terus bersaing khususnya dalam perlawanan terakhir menghadapi Emiriah Arab Bersatu (UAE), esok.

Malah, Malaysia, semalam mendapat beberapa peluang cantik menerusi Gary Steven Robbat, D. Saarvindran dan Amer Saidin masing-masing pada minit keempat, 50 dan 75 apatah lagi lawan kehilangan Boqshan Ahmed Ali yang dibuang padang kerana dikenakan kad merah (68).

''Memang tuah menyebelahi kami dengan gol itu walaupun ada beberapa peluang yang sepatutnya mampu menghasilkan gol penyamaan lebih awal kerana pasukan menunjukkan peningkatan dalam babak kedua.

"Perlawanan ini cukup dramatik kerana pemain gagal mengamalkan apa yang diarahkan tetapi yang tidak diarahkan pula menjadi dan mujurlah kami berjaya meraih keputusan ini," kata Kin Chon yang mengakui corak agresif Yemen berubah kendur selepas mereka bermain dengan 10 orang.

Sementara itu, jurulatih Yemen, Sami Al Nash berkata: "Keputusan ini tidak adil kerana Malaysia tidak berhak mendapat satu mata daripada perlawanan ini tetapi pengadil membuat keputusan yang pelik. Wisel itu kedengaran dari tempat penonton dan pengadil sepatutnya memberikan jatuhan bola kepada kedua-dua pasukan dan bukannya penalti.

"Namun, perlawanan ini menarik sekali dan Malaysia sebuah pasukan yang menampilkan persembahan bagus malah tidak sepatutnya kalah dalam perlawanan pertamanya (dengan Jepun).''
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz50rp3Q6Bg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 16 Oktober 2019

Muslim tekad beri yang terbaik

MyMetroArena
Mohd Rafi Mamat
sukanteam@nstp.com.my
 
SAINGAN sengit dalam skuad menuntut pemain pertahanan Pahang, Muslim Ahmad memberi persembahan terbaik bagi memastikan namanya tidak tercicir daripada senarai kesebelasan utama pasukan pada saingan Liga Super musim depan.

“Kehadiran beberapa muka baharu dalam skuad Tok Gajah akan menjadi senjata kekuatan pasukan, bagaimanapun pada masa sama mereka adalah pesaing kuat saya untuk berada di tengah padang.

“Sebagai pemain profesional, perkara itu dianggap biasa dan tidak terlalu membebankan, apa yang utama ialah saya perlu berusaha memberi persembahan bagi memikat hati jurulatih (Dollah Salleh) setiap kali sesi latihan,” kata Muslim.

Selepas memasuki musim kedua bersama Tok Gajah, Muslim mengakui dia sudah serasi dengan pemain lama dalam pasukan dan kelebihan itu akan dapat membentuk persefahaman lebih baik dan berkesan terutama dengan jentera tengah.

Pada musim 201,7 dia bergandingan dengan pemain import dari Korea Selatan, Heo Jae Won di bahagian pertahanan, namun selepas pemain itu berpindah, kekosongan posisi berkenaan masih belum diputuskan jurulatih.

Baginya, sesiapa saja yang akan bergandingan dengannya bukan persoalan penting untuk difikirkan kerana fokus utamanya ialah memberi persembahan terbaik bagi memastikan Tok Gajah mencatat kejayaan pada setiap perlawanan.

“Saya perlu berusaha sedaya upaya membalas kepercayaan jurulatih yang mengekalkan saya musim 2018.

“Dengan kerjasama semua pemain, saya yakin skuad Tok Gajah musim depan lebih berkualiti dan berkesan dalam usaha memburu kejayaan selepas gagal menyerlah musim ini,” kata pemain kelahiran Kuala Terengganu itu.

Muslim yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, kehadiran Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha), Safuwan Baharudin, Bunyamin Umar dan Chan Vathanaka mampu meletak pasukan Tok Gajah sebagai pencabar utama musim depan.

“Kelibat Matheus Alves, Mohamadou Sumareh, Chan (Vathanaka) dan Mat Yo pastinya akan dapat memberikan hasil memuaskan kepada pasukan seterusnya kegembiraan serta kepuasan kepada peminat setia Pahang,” katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 1:38 PM