Ahad, 25 November 2018

Harimau Muda lebar penguasaan


 

ARKIB : 19/05/2009
Harimau Muda lebar penguasaan
Dua pemain Felda United, Rashid Mahmud (kanan) yang patah tangan dan Mohd. Khairul Anuar Jamil yang cedera teruk di bahagian lutut terpaksa dikejarkan ke hospital di pertengahan babak pertama ketika menentang T-Team di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, semalam tadi. 
KUALA LUMPUR - Skuad bawah 19 tahun negara, Harimau Muda membuka tirai saingan pusingan kedua Liga Perdana dengan mengukuhkan kedudukan di puncak liga selepas menang tipis 1-0 ke atas Sabah di Stadium Likas, semalam.

Jaringan tunggal perlawanan menerusi Abd. Shukor Yusof (m-90) cukup untuk meletakkan Harimau Muda kini selesa mengatasi Johor dengan enam mata.

Johor tidak turun beraksi semalam tetapi memiliki kurang satu perlawanan berbanding Harimau Muda yang sudah mengumpul 37 mata daripada 13 perlawanan.

T. Team pula berpesta gol ketika menewaskan Felda United 4-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin untuk mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga liga.

Hairuddin Omar melakukan hatrik pada minit ke-3, 63 dan 78 manakala satu lagi gol dijaringkan Azrul Azran Amiruddin (m-75).

Namun perlawanan semalam dihiasi insiden patah tangan membabitkan pemain Felda, Rashid Mahmud pada minit ke-16.

Rashid bersama rakan sepasukan, Khairul Anuar Jamil yang cedera teruk di kaki terpaksa dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.

Kuala Lumpur pula mengekori rapat di tangga keempat selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas SDM Kepala Batas di Stadium KLFA, Cheras.

Turut mencatat kemenangan ialah Proton FC yang menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Sarawak.

Kemenangan itu membolehkan Proton melonjak dari tangga ketujuh ke tangga kelima.

Kejayaan Proton itu turut dibantu kegagalan PKNS memungut tiga mata apabila diikat 1-1 oleh Shahzan Muda di Stadium Petaling Jaya.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula mencipta kemenangan kedua mereka musim ini selepas menewaskan Melaka 3-1 di tempat lawan iaitu Stadium Hang Tuah.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5Xv701mhK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan