Khamis, 20 Disember 2018

Harimau Muda capai sasaran


ARKIB : 02/06/2010
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

SKUAD Harimau Muda tiba di KLIA, Sepang semalam selepas lebih tiga bulan berguru di Slovakia. - utusan/ HANAFI KHAMIS

SEPANG - Setelah lebih tiga bulan beraksi di luar negara, Harimau Muda A kembali ke tanah air semalam, dengan membawa pulang pengalaman dan mempamer peningkatan sepanjang beraksi dalam Liga Bawah 21 Divisyen 1 Slovakia.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azuddin Ahmad berkata, berdasarkan prestasi yang dipamerkan skuad Mohd. Azraai Khor Abdullah, jelas telah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

''Bagaimanapun kita masih menunggu laporan penuh daripada Azraai sendiri. Dalam masa yang sama, satu panel bebas juga akan membuat penilaian mengenai tahap peningkatan pemain Harimau Muda A," katanya ketika menyambut kepulangan skuad tersebut di di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA), semalam.

Jelasnya, Harimau Muda A telah manfaatkan sepenuhnya tempoh tiga bulan di Slovakia.

Untuk itu, katanya pemain perlu diuji di arena tempatan pula, bagi melihat tahap kemajuan yang dikatakan baik.

''Pemain diberi rehat selama 14 hari sebelum menjalani latihan intensif di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

''Selepas itu mereka akan membuat persiapan untuk kejohanan Piala Newspaper di Vietnam, Oktober ini.

''Dalam masa yang sama, ada beberapa pemain yang telah disenaraikan oleh jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal untuk ke Antalya, Turki dari 10 hingga 20 Jun ini, bagi menyertai latihan serta perlawanan persahabatan di sana," katanya.

Mengenai Muslim Ahmad dan K. Gurusamy yang dikatakan mendapat tawaran berlatih bersama kelab Vion Zlate Moravce, di Slova, Azuddin berkata, beliau tidak mendapat apa-apa maklumat mengenai perkara itu.

''Liga utama di Slovakia, Liga Corgon akan memulakan musim 2010/2011 tidak lama lagi.

''Jika ada tawaran pun, mungkin pada akhir Jun atau Julai. Buat masa ini belum ada sebarang maklum balas lisan mengenai tawaran tersebut," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5aEHO6Wpd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan