Ahad, 16 Disember 2018

Zamir lega dapat ke Slovakia


Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Peluang keemasan menunjukkan taring dalam Liga Divisyen Satu Bawah 21 Slovakia, ibarat 'sirih pulang ke gagang' buat penjaga gol utama Harimau Muda A, Muhammad Zamir Selamat selepas hampir sebulan berada di sana, pada September tahun lalu.

Ini turut melenyapkan teka-teki yang bersarang di kepalanya dan rakan sepasukan, selepas dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) daripada Liga Super musim 2010, selain ditolak pula untuk menyertai Liga Singapura.

"Nasib kami yang terumbang-ambing, semangat yang tiba-tiba patah dan kesamaran dengan hala tuju pasukan sejak sebulan lalu, sudah lenyap dengan pengumuman FAM kelmarin untuk membawa kami beraksi dalam Liga Slovakia," kata anak jati Kuala Lumpur berusia 21 tahun ini.

"Gembira juga dapat kembali ke negara itu untuk menimba pendedahan dan pengalaman liga gaya permainan Eropah Timur, kerana sebelum ini kami pernah bermain siri persahabatan dengan kelab remaja mereka, Hungary dan Austria," katanya ketika ditemui di di sini, kelmarin.

Muhammad Zamir yang juga bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria di sini, sebelum bertukar ke Sekolah Sukan Bukit Jalil, mengulas berita gembira FAM buat skuad bawah 21 tahun negara bimbingan Azraai Khor Abdullah, yang bakal mengasah taring mereka di negara itu mulai 27 Februari hingga 29 Mei ini.

"Ketika siri persahabatan tahun lalu, kami menginap dan berpangkalan di Vion, Slovakia dan menggunakan bas untuk ke pelbagai gelanggang bagi siri persahabatan, jadi rasanya tiada masalah menyesuaikan diri bagi kebanyakan kami termasuk dari segi makanan atau cuaca," katanya.

Tonggak skuad juara Liga Perdana musim 2009 di bawah K. Rajagobal sebelum beralih kepada Ong Kim Swee ketika itu, mengakui mendapat sokongan padu keluarganya dan berazam memanfaatkan pengalaman Liga Slovakia, sekali gus mewakili negara pada Sukan SEA Indonesia 2011.

"Memandangkan semua penjaga gol skuad juara Sukan SEA Laos XXV di lalu sudah melebihi 23 tahun, saya rasa peluang bermain Sukan SEA 2011 bertambah cerah jika dapat kekal dalam Harimau Muda A," katanya yang meminati R. Arumugam, Azmin Azram Aziz dan Peter Schmeichel.

"Namun jika ada rezeki, saya turut mengidam dan berazam untuk lebih cepat mewakili skuad bawah 23 tahun ke Sukan Asia Guangzhou 2010 (November ini) ekoran ketiadaan Sharbinee Allawee Ramli dan Farizal Marlias," katanya.

Muhammad Zamir yang mendapat tajaan peralatan Lotto sejak 4 Disember lalu, kini bersaing dengan dua lagi penjaga gol Harimau Muda A, K. Sasikumar dan Syamim Othman selain mendapat bimbingan khas jurulatih penjaga gol pasukan, P. Mohana Sundram.

Selain Liga Slovakia, skuad ini bakal beraksi dalam Piala Obama di Michigan, Amerika Syarikat pada Mei ini dan Piala Newspaper di Vietnam (Oktober) selain siri lawatan dan persahabatan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, India dan Qatar.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5Zq10bsSn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan