Ahad, 18 Mac 2018

Harimau Muda mengganas


ARKIB : 24/03/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Harimau Muda mengukuhkan cengkaman sebagai pendahulu bola sepak Liga Perdana apabila mencatat kemenangan ketujuh berturut-turut dengan menundukkan Melaka 3-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Jaringan Ahmad Shakir Md. Ali, kapten, K. Gurusamy dan Ahmad Aminuddin Shaharuddin memastikan skuad bawah 20 tahun kebangsaan itu mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.

Harimau Muda yang mengasak sejak awal permainan tidak menunggu lama untuk membuka jaringan selepas Shakir yang menerima umpanan pendek dari Aminuddin pada minit keempat terus melakukan rembatan di luar kotak petak penalti.

Gol kedua pula hadir pada minit ke-13. Biarpun penjaga gol Melaka, Md. Jibrail Kamaron berjaya menepis tandukan S. Sivanesan, namun Gurusamy yang tidak dikawal mudah menolak bola menerjah gawang gol.

Harimau Muda menambah gol ketiga pada babak kedua, kali ini menerusi tandukan Aminuddin pada minit ke-65 selepas menerima hantaran lambung Fandi dari sebelah kiri padang.

Johor bagaimanapun terus memberi tekanan kepada pendahulu apabila mengekori dengan dua mata selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sarawak di Stadium Sarawak.

Gol tunggal pasukan pelawat hadir pada minit ke-13 menerusi rembatan Azrin Affendi Sadudin.

Seperti skuad Harimau Muda, Johor turut mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini dan mengumpul 19 mata daripada tujuh perlawanan.

Wakil Terengganu, T-Team menjadi pasukan ketiga yang masih belum dikalahkan musim ini selepas menumpaskan Sabah 2-1 di Stadium Likas.

Rekod tanpa kalah mereka bagaimanapun bakal dicabar oleh Harimau Muda apabila kedua-dua pasukan handalan ini bertemu di Kuala Terengganu pada 3 April depan.

Sementara itu kelab dari Selangor, Proton FC mencatat kemenangan keenam musim ini selepas menundukkan wakil Pahang, Shahzan Muda 1-0 di Stadium MBPJ, semalam.

Kuala Lumpur turut memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila membenam PKNS 3-0 di Stadium KLFA, Cheras.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5A6TnqcAe
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan