Khamis, 14 Disember 2017

Usah gentar! - Rajagopal

ARKIB : 28/12/2008
Oleh FERZALFIE FAUZI
KUALA LUMPUR - Usah gentar, kata semangat yang diluahkan jurulatih Harimau Muda, K.Rajagopal kepada anak-anak buahnya menjelang Liga Perdana yang akan bermula pada 9 Januari ini.

Menurut bekas jurulatih Selangor dan Kelantan, barisan pemainnya perlu mengubah persepsi takut apabila berhadapan dengan pasukan dalam Liga Perdana yang mempunyai pemain berpengalaman.

''Apabila mereka membuang perasaan takut saya yakin ia akan memberi sedikit kesukaran buat pasukan lain apabila bertemu dengan kami nanti,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.

Jelasnya, walaupun Harimau Muda adalah sebuah pasukan pembangunan untuk masa akan datang tetapi mereka tidak rela menjadi pasukan belasahan dengan menghuni tangga tercorot liga.

''Saya mahu pemain yang beraksi untuk musim kedua kali ini cepat belajar dan sentiasa berfikiran positif setiap kali turun padang.

''Apa yang penting saya mahu setiap pemain menunjukkan peningkatan baik dari segi berpasukan mahupun individu,'' katanya.

Kata Rajagopal, walaupun mereka tidak meletakkan sebarang sasaran tetapi dia tidak mahu pemainnya cuba untuk memberikan persembahan terbaik setiap perlawanan.

''Saya mahu melihat mereka berada dalam keadaan bersedia walaupun kami akan turun beraksi tanpa menyerang utama musim lalu Ahmad Fakri Saarani.

''Saya yakin pemain yang ada mampu membentuk kombinasi mantap walaupun mereka tidak dikenali kerana usia masih muda,'' kata Rajagopal dalam nada rendah diri.

Tambahnya, pemain muda yang bersama pasukan Harimau Muda mampu pergi lebih jauh dan memerlukan sedikit masa untuk meningkat naik.

Hari ini Harimau Muda akan menentang pasukan Kuala Lumpur dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51FON8VVs

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan