Khamis, 29 November 2018

Harimau Muda kempunan hadiah


 
ARKIB : 04/08/2009
Harimau Muda kempunan hadiah
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com
skuad Harimau Muda bersorak gembira selepas menewaskan Kuala Lumpur di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin sekali gus mengesahkan kejuaraan Liga Perdana menjadi milik pasukan itu. - UTUSAN/Asmaruddin Jamaluddin

PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah membuat keputusan bahawa Harimau Muda tidak boleh menerima hadiah wang tunai selaku juara bola sepak Liga Perdana musim ini.

Perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, semalam, bagaimanapun pasukan T-Team layak menerima RM100,000 selaku naib juara manakala pasukan di tangga ketiga, Johor meraih RM 50,000.

Menurut Pengerusi JKPT FAM, Datuk Che Mat Jusoh, wang yang sepatutnya diberikan kepada juara Liga Perdana iaitu sebanyak RM200,000 akan kekal dalam simpanan FAM.

"Bagaimanapun mereka tetap dinobatkan selaku juara Liga Perdana dan perkara ini merujuk kepada garis panduan FAM fasal 3.23," katanya selepas mesyuarat JKPT di Wisma FAM, semalam.

Harimau Muda pertama kali menjuarai Liga Perdana selepas dua musim beraksi di bawah bimbingan K. Rajagobal, sebelum jurulatih itu menjawat jurulatih kebangsaan dan tempatnya diganti oleh Ong Kim Swee.

Dalam aksi terakhir, semalam mereka menewaskan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk mengesahkan kejuaraan sementara T-Team hanya mencatat keputusan seri 1-1 menentang Shahzan Muda dan dibezakan dengan jurang empat mata.

Sementara itu, JKPT FAM juga telah memutuskan bahawa undian Piala Malaysia akan berlangsung pada 15 Ogos ini dengan melibatkan 20 pasukan yang akan dibahagikan dalam lima kumpulan.

"Pasukan yang menduduki tangga pertama, kedua, ketiga, keempat, kelima akan diletakkan sebagai pasukan pilihan, bagi menerajui kelima-lima kumpulan tersebut," katanya.

Selain 14 pasukan negeri turut bersaing dalam Piala Malaysia musim ini ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama empat kelab terbaik, KM Naza, Johor FC, KL Plus dan UPB-MyTeam.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YJE9XlPo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan