Isnin, 26 November 2018

Harimau kembali temui rentak


ARKIB : 30/06/2009
KUALA LUMPUR - Harimau Muda bangkit daripada kekalahan pertama kepada Proton minggu lalu namun hanya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Shahzan Muda pada aksi Liga Perdana semalam.

Jaringan N. Aminuddin Shaharudin pada minit ke-23 bertahan sehingga ke akhir perlawanan di Stadium Darulmakmur, Kuantan untuk skuad Ong Kim Swee terus meneraju liga dengan 46.

Ia merupakan kemenangan ke-15 Harimau Muda dari 17 perlawanan yang kini hanya kalah sekali kepada Proton 0-2 minggu lalu untuk selesa mendahului dengan kelebihan lima mata.

Namun T-Team semakin memperkuatkan cengkaman di tangga kedua, sekali gus meneruskan rentak untuk menghambat pasukan Harimau Muda apabila membelasah pasukan kedua tercorot Sarawak 7-0.

Perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu menyaksikan Haris Safwan mencitpa hatrik pada minit ke-47, m-63 dan m-83.

Penyerang kebangsaan, Hairudin Omar turut mencatat nama sebagai penjaring menerusi dua gol pada minit ke-72 dan ke-75.

Azrul Azwan Aminuddin Baki dan Mohd. Kamal Rodiajat melengkapkan kemenangan besar T-team apabila masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-60 dan ke-85.

Kemenangan besar itu membolehkan T-Team mengumpul 41 mata, hanya lima mata dipisahkan dengan Harimau Muda.

Turut mencabar tangga kedua ialah Johor yang kalah kepada T-Team Jumaat lalu apabila mengutip mata penuh walaupun hanya mengatasi PKNS 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Johor kini mengumpul 36 mata, lima mata di belakang T-Team namun masih kurang satu perlawanan berbanding pasukan dari Panta Timur itu.

Sementara itu, skuad warga kota Kuala Lumpur mempertahankan kedudukan di tangga keempat selepas menang 3-0 ke atas Melaka di Stadium Jebat.

Kuala Lumpur kini mengumpul 32 mata, empat mata di belakang pasukan ketiga Johor.

Proton yang melakukan kejutan ke atas Harimau Muda gagal meneruskan aksi cemerlang apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Tentera di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Keputusan itu menyebabkan Proton ketinggalan dua mata di belakang Kuala Lumpur setelah berkongsi 29 mata sebelum perlawanan semalam.

Sementara itu, Felda United memintas PKNS untuk menduduki tangga keenam selepas membenam Sabah 3-2 di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur.



SUMBRArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5XxGr8xj1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan