Khamis, 29 November 2018

Penat punca B-19 tewas di Vietnam


ARKIB : 05/08/2009
KUALA LUMPUR - Keletihan dikatakan punca pasukan bola sepak bawah 19 tahun negara tewas 0-2 kepada pasukan tuan rumah dalam perlawanan pertama Kumpulan B, Kejohanan Bawah 19 AFF di Vietnam, semalam.

Perkara itu diakui sendiri oleh jurulatih, Ong Kim Swee berikutan lima pemainnya dari pasukan Harimau Muda baru sahaja menamatkan saingan Liga Perdana dalam pertemuan terakhir menentang Kuala Lumpur Ahad lepas.

Kata Kim Swee, selain penat anak buahnya juga dilihat tidak mampu untuk menandingi kepantasan yang dimiliki oleh pemain Vietnam walaupun berjaya mengikat kedudukan 0-0 pada separuh masa pertama.

"Bagaimanapun saya berpuas hati dengan keputusan ini kerana pemain tidak terlalu tertekan dengan kehadiran ribuan penonton tuan rumah sebaliknya mampu mengimbangi perlawanan pada separuh masa pertama," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Jelasnya, gol pertama yang dijaringkan oleh Vietnam pada minit ke-47 berpunca dari sepakan percuma manakala gol kedua pada minit ke-62 adalah kesilapan individu pemainnya sendiri.

Malaysia akan menentang Timor Leste Khamis ini (esok) dalam perlawanan keduanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YJFeBehb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan