Isnin, 26 November 2018

Harimau Muda terus mengaum


ARKIB : 07/07/2009
Pemain Shahzan Muda, Khairul Jasri Salleh (kiri) diasak pemain Proton FC, Faizal Mansur pada saingan bola sepak Liga Perdana di Kuala Lumpur, malam tadi. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH
KUALA LUMPUR - Pasukan Harimau Muda mengukuhkan cengkamannya selaku pendahulu bola sepak Liga Perdana selepas membenam Melaka 2-0 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Kemenangan ke-17 daripada 19 perlawanan musim ini, membolehkan skuad bawah 19 tahun kebangsaan itu menerajui liga dengan 52 mata.

Harimau Muda yang dibimbing oleh jurulatih, Ong Kim Swee kini jauh meninggalkan pencabar terdekat, T-Team dengan kelebihan lapan mata.

Hasrat T-Team untuk merapatkan jurang tidak tidak kesampaian apabila pertemuan dengan Sabah yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ismail, Kuala Terengganu dibatalkan pada saat akhir.

Media dimaklumkan, pembatalan tersebut berpunca daripada kegagalan pasukan Sabah mendapat tiket penerbangan di saat akhir.

Johor sebaliknya terus mengekori dua pasukan teratas selepas mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas Sarawak di Stadium Hassan Yunos.

Keempat-empat gol tuan rumah dijaringkan Norizam Salaman (minit ke-23), Mohd. Sairozi Daud (36), Mohd. Hardi Ahmad (71) dan Jazarin Jamaluddin, pada minit ke-87. Gol tunggal Sarawak disempurnakan oleh Joseph Kalang, minit ke-44.

Dalam satu lagi perlawanan, Kuala Lumpur mengukuhkan kedudukan di tangga keempat selepas menundukkan PKNS Selangor 2-0 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya.

Di Stadium KLFA, Cheras, Felda United menumpaskan wakil Pulau Pinang, SDM Kuala Batas 3-1, terima kasih kepada jaringan Hasmawi Hassan pada minit pertama, diikuti Khairul Izwan Khalid (m-62) dan Mohd. Hazshafiq Hamzah (m-63). Gol SDM pula dijaringkan Azman Nizam Abdullah pada minit ke-24.

Di Stadium Darul Makmur, Shahzan Muda hanya mampu seri 1-1 dengan Proton FC.

Shahzan membuka jaringan menerusi pemain pertahanan, G. Mahathevan pada minit ke-32, tetapi Proton menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Khairul Akhyar Husain, minit ke-79.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5XxR4VggG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan