Selasa, 27 November 2018

Harimau Muda tetap gusar


ARKIB : 23/07/2009
KUALA LUMPUR - Kejuaraan sudah dalam genggaman, malah Harimau Muda bakal bergelar juara Liga Perdana tanpa perlu beraksi jika pencabar terdekatnya T-Team tunduk kepada Sabah pada perlawanan Rabu ini.

Jika T-Team kalah dalam perlawanan itu, Harimau Muda yang kini mengumpul 59 mata akan bergelar juara kerana dengan baki satu perlawanan, T-Team, 53 mata tidak lagi mampu memintas skuad bimbingan Ong Kim Swee itu.

Namun, bukan itu yang difikirkan oleh Kim Swee, sebaliknya pengganti K. Rajagobal itu resah memikirkan tentangan getir yang bakal dihadapi skuadnya apabila berdepan Kuala Lumpur pada perlawanan terakhir 2 Ogos ini.

Tanpa mengambil kita keputusan perlawanan di antara T-Team dan Sabah, Harimau Muda akan bergelar juara sekali pun seri dengan Kuala Lumpur.

Dalam hal ini, Kim Swee berkata, dia tidak memandang ringan perlawanan dengan Kuala Lumpur meskipun hakikatnya hanya memerlukan satu mata daripada perlawanan itu untuk mereka bergelar juara.

''Saya sifatkan perlawanan terakhir kami menentang Kuala Lumpur ibarat perlawanan akhir. Ia merupakan perlawanan penentu kejuaraan kami.

''Melihatkan situasi semasa Kuala Lumpur, mereka bersemangat tinggi kerana sedang bersaing dengan Johor untuk perebutan tempat ketiga liga.

''Ini bermakna Kuala Lumpur akan menyusahkan kami nanti. Jadi saya tidak mengambil mudah perlawanan dengan Kuala Lumpur,'' katanya ketika dihubungi, semalam.

Untuk memastikan kejuaraan, katanya, ia terpulang kepada para pemain didorong dengan semangat untuk mencipta sejarah sebagai pasukan muda yang menjulang trofi Liga Perdana.

''Saya berharap pemain mengambil inspirasi seperti mana skuad muda kebangsaan kita yang berjaya memberi tentangan kepada Manchester United,

''Saya mempunyai persediaan selama 10 hari sebelum menentang Kuala Lumpur dan tempoh yang panjang ini akan saya gunakan untuk memantapkan persediaan pasukan,'' katanya.

Harimau Muda sepatutnya bergelar juara jika menang ke atas Sarawak pada perlawanan di Kuching, Isnin lalu.

Namun, perlawanan penuh tegang yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuching menyebabkan Harimau Muda seri 1-1.

Mengulas perlawanan dengan Sarawak, Kim Swee mengakui perlawanan agak tegang kerana Sarawak terdesak untuk mengutip mata bagi mengelak tercicir ke Liga FAM.

''Selain perlawanan tegang, ketiadaan lapan pemain tonggak kerana menyertai skuad kebangsaan, cedera dan digantung menyebabkan rentak kami terjejas.

''Namun, para pemain utama termasuk yang mewakili negara ketika menentang United tempoh hari iaitu Ahmad Shakir Ali, G. Gurusamy dan Mohd. Muslim Ahmad akan beraksi untuk perlawanan terakhir nanti,'' katanya.

Sementara itu, T-Team masih mengharapkan keajaiban untuk mereka mengubah sisa peluang kepada kemenangan yang akan membawa kejayaan.

Dengan baki dua perlawanan yang perlu dimenangi jika mahu bergelar juara sambil mengharapkan Harimau Muda tersungkur ketika menentang Kuala Lumpur, jurulatih T-Team, Che Ku Marzuki Mohd. Nor masih enggan mengalah.

''Peluang kami tetap ada. Saya ramal Harimau Muda akan diberi tentangan sengit oleh Kuala Lumpur pada perlawanan terakhir mereka.

''Tumpuan kami sekarang ialah untuk memenangi dua perlawanan terakhir menentang Sabah dan Shahzan Muda,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5Y3dEL6rX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan